KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) sedang menyiasat berhubung tindakan seorang lelaki dipercayai bukan Islam yang memuat naik hantaran gambar memijak al-Quran di laman Thread.
Siasatan itu dijalankan seandainya lelaki berkenaan melibatkan penuntutnya.
UMPSA menegaskan, ia memandang serius perkara yang menyentuh isu 3R sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam membabitkan institusi itu.
“Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Laedah Universiti dan Kolej UMPSA (Tatatertob Pelajar) 2024,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.
Tindakan lelaki yang menggunakan akaun ‘Vikneswaran0102’ di laman Thread itu telah mencetuskan rasa marah dalam kalangan netizen di laman media sosial sejak malam tadi.
Rata-rata netizen menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap lelaki itu yang didakwa merupakan salah seorang pelajar institusi pelajaran tinggi di negeri ini.
“Quran tu kitab suci kami. Awal awal buat tak fikir guna kepala otak? Shame on you. I’m a Muslim, will never forgive you,” kata seorang pengguna bernama ‘nursaffa_’.
“Tiada maaf bagimu! Dengan memijak Al-quran umpama kau dah isytihar perang dengan agama kami,” kata pengguna bernama ‘azharproton’ pula.
Hantaran berbaur provokasi terhadap agama Islam itu bagaimanapun telah dipadam dan disusuli bebenang hantaran berupa permohonan maaf.
“Saya ingin memohon maaf dengan sepenuh hati atas gambar yang saya muat naik sebelum ini yang melibatkan Al-Quran. Perbuatan saya adalah salah, tidak beradab dan sangat tidak menghormati. Tiada alasan yang boleh membenarkan tindakan saya.
“Saya akui bahawa saya bertindak dalam keadaan marah dan dipengaruhi perasaan dendam. Ketika itu saya tidak berada dalam keadaan fikiran yang waras dan tenang. Saya membiarkan emosi menguasai diri sehingga melakukan sesuatu yang sangat saya kesali sekarang,” katanya menerusi hantaran. – MalaysiaGazette


