Pelajar tahfiz UPSI jadi imam di University of Oxford sempena Ramadan

TANJUNG MALIM – Lima wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melibatkan pelajar termasuk seorang pegawai telah terpilih untuk menjadi imam sempena Program Qari in Residence sepanjang bulan Ramadan tahun ini di United Kingdom (UK), Australia dan Singapura.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pemilihan wakil UPSI di institusi Islam luar negara sepanjang Ramadan membuktikan keupayaan universiti itu melahirkan graduan dan warga institusi yang diberi penghormatan dan pengiktirafan global terhadap kualiti pendidikan tahfiz universiti itu.

Beliau turut berbangga apabila pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Adib Farhan Baharudin telah terpilih menjadi imam di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), UK.

“Ini adalah satu penghormatan luar biasa untuk pelajar UPSI yang mendapat peluang untuk memantapkan lagi keperibadiannya sebagai seorang pelajar tahfiz.

“Program dari 16 Februari hingga 21Mac itu, adalah satu pengiktirafan yang membanggakan malah memperlihatkan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global.

“Selain itu, Ahmad Al Mustafa Mohd Azmi yang berkhidmat sebagai imam di Malaysian Hall Perth, Australia, manakala Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli serta Muhd Farhan Hakimi Khairul Aizam masing-masing berkhidmat di Singapura di Masjid al-Ghufran, Singapura.

“Guru Tahfiz merangkap Penasihat Persatuan Tahfiz UPSI, Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami FSK, turut diberi kepercayaan berkhidmat sebagai imam di Masjid Dar al-Iman dan Malaysian Hall Sydney, Australia.

“Mereka yang terlibat diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai imam serta menyumbang kepakaran dalam bidang al-Quran di beberapa institusi Islam,” katanya menerusi satu kenyataan.

Lima wakil UPSI jadi imam di luar negara sempena Ramadan
Imam Farhan Hakimi (dua dari kanan) dan Imam Wan Irsyad (tengah) bersama pegawai Masjid al-Ghufran, Singapura selepas solat terawih. Foto Bahagian Komunikasi Korporat UPSI

Dalam pada itu, penglibatan pelajar dan pegawai UPSI di luar negara turut membuka peluang kepada mereka untuk memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi serta kefahaman budaya masyarakat Islam antarabangsa.

“Ini selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi duta ilmu, sahsiah dan nilai Islam.

“Merealisasikan aspirasi itu, UPSI dalam proses pembinaan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (-Furqan) yang akan menjadi pusat kajian berkaitan isu melibatkan pendidikan tahfiz di negara ini.

“Institut yang sedang giat dibina di atas tapak seluas 7.28 hektar di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City ini akan menggunakan kurikulum yang mengintegrasikan sistem ‘pondok’ dan sistem pendidikan arus perdana,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah -Furqan, Profesor Dr Abd Rahman Abd Ghani berkata, Program Qari in Residence adalah platform strategik dalam mengetengahkan bakat serta kepakaran pelajar tahfiz UPSI di pentas global.

“Pemilihan wakil UPSI dibuat melalui proses saringan rapi yang menilai aspek hafazan, penguasaan qiraat, pencapaian akademik serta keperibadian calon.

“Program ini memberi ruang kepada peserta untuk mempraktikkan ilmu qiraat, tajwid dan pengurusan ibadah dalam konteks sebenar, di samping memperkukuh keyakinan diri serta profesionalisme sebagai imam dan pendidik al-Quran di luar negara.

“Kita berharap pengalaman ini akan memberi nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan sahsiah dan kerjaya mereka pada masa hadapan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI universiti pertama santuni mangsa banjir Pidie Jaya, Banda Aceh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI