KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) — Kementerian Luar (Wisma Putra) memantau rapi keselamatan 29,112 rakyat Malaysia di beberapa negara terjejas susulan ketegangan berpunca daripada tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang melancarkan serangan terhadap Iran pada Sabtu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuklah usaha untuk membawa rakyat Malaysia pulang ke tanah air.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha membawa pulang tidak dapat dilaksanakan ketika ini memandangkan banyak ruang udara di negara Timur Tengah ditutup, kecuali melibatkan penerbangan dari Arab Saudi.
Dalam ucapannya, Anwar memaklumkan kebanyakan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara Timur Tengah ialah golongan bekerja yang telah menetap di sana, dengan sebahagian lagi adalah pelancong dan jemaah umrah.
— BERNAMA


