Stadium Perak dibuka semula September depan – Exco

IPOH – Stadium Perak dijangka boleh digunakan September depan selepas proses penukaran rumput serta penambahbaikan padang dijangka siap pada April ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, setakat ini, kemajuan fizikal projek telah mencapai kira-kira 75 peratus, dengan sedikit kelewatan 10 peratus berbanding jadual asal susulan pelaksanaan kerja tambahan dan penyelarasan teknikal.

Menurutnya, terdapat kerja tambahan melibatkan sistem pengairan padang bagi memastikan kemudahan stadium memenuhi piawaian penggunaan semasa serta keperluan penyelenggaraan jangka panjang.

“Kerja naik taraf yang sedang berjalan termasuk pemasangan rumput Axonopus Putra, pengubahsuaian sistem saliran bawah tanah dan pemasangan sistem siraman automatik jenis ‘pop-up sprinkler’.

Stadium Perak dibuka semula September depan - Exco
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching ketika mengadakan lawatan kerja ke Stadium Perak, Ipoh. Foto Rosdalilah Zahari

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan peruntukan tambahan RM413,000 bagi pemasangan sistem siraman automatik itu yang tidak termasuk dalam skop asal projek bagi menggantikan kaedah siraman manual yang bergantung kepada tenaga manusia sebelum ini.

“Keputusan untuk menambah sistem siraman automatik ini dibuat selepas semakan teknikal mendapati pemasangan perlu dilakukan sebelum kerja penanaman rumput bagi mengelakkan risiko kerosakan struktur padang serta kos pembaikan pada masa hadapan.

“Projek ini dijangka akan siap sepenuhnya sekitar akhir Mac atau April tahun ini dan akan diikuti tempoh pematangan rumput kira-kira tiga hingga empat bulan juga sebelum padang boleh digunakan secara optimum.

“Kita jangka sekitar bulan September (kerja naik taraf) boleh selesai semuanya dan (Stadium Perak) siap sedia untuk dibuka kepada perlawanan (bola sepak) dan sebagainya,“ katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Stadium Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak.

Stadium Perak dibuka semula September depan - Exco
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching ketika mengadakan lawatan kerja ke Stadium Perak, Ipoh. Foto Rosdalilah Zahari

Beliau berkata, projek naik taraf Stadium Perak yang bermula Jun tahun lalu adalah usaha bersama membabitkan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MBI, serta Kerajaan Negeri Perak dengan kos keseluruhan melebihi RM1.2 juta termasuk kerja tambahan pemasangan sistem ‘sprinkler’.

Katanya,pemasangan rumput Axonopus Putra di Stadium Perak berbanding cadangan asal menggunakan rumput Zeon Zoysia diyakini pilihan tepat dengan melihat kepada kajian kes yang berlaku di negeri lain antaranya di Terengganu.

Stadium Perak ditutup sejak penghujung Oktober 2024 berikutan pemantauan teliti perlu dilakukan bagi membolehkan masalah air bertakung sedia ada dapat diselesaikan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Naik taraf padang Stadium Perak dijangka siap September depan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI