Wisma Putra nasihat tangguh perjalanan tidak penting ke Timur Tengah

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri Malaysia atau Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke beberapa negara di Timur Tengah susulan ketegangan keselamatan dan gangguan perjalanan yang masih berlarutan di rantau itu.

Menerusi kenyataan hari ini, kementerian memaklumkan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan mutlak, dengan pemantauan berterusan dilakukan melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara-negara terjejas.

“Rakyat Malaysia adalah dinasihatkan supaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.

“Nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian kekal berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa di Emiriah Arab Bersatu telah mengumumkan pembukaan laluan udara selamat yang ditetapkan bagi mengurus pergerakan penerbangan secara lebih terkawal.

Pada masa sama, Malaysia Aviation Group memaklumkan penyambungan semula sementara penerbangan ke dan dari Jeddah serta Madinah bagi tempoh 4 hingga 8 Mac, sekali gus memberi kelegaan kepada sebahagian penumpang yang terjejas.

Wisma Putra menjelaskan Perwakilan Diplomatik Malaysia terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan rakan operasi bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan perjalanan berterusan.

Di Emiriah Arab Bersatu, Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi serta Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang berhubung secara konsisten dengan rakyat Malaysia yang menunggu pengaturan perjalanan seterusnya, khususnya mereka yang berdepan transit berpanjangan atau penginapan sementara.

“Susulan pengumuman mengenai laluan udara selamat tersebut, perwakilan kami sedang berurusan dengan pihak berkuasa berkaitan serta pihak berkepentingan operasi bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaannya dan memudahkan perjalanan seterusnya secara teratur apabila keadaan mengizinkan.

“Pegawai konsular turut menjalankan penilaian kebajikan secara berterusan, dengan keutamaan diberikan kepada individu yang mengalami transit berpanjangan atau isu penginapan sementara,” jelas kementerian itu.

Di Arab Saudi, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah terus memantau keadaan melibatkan jemaah umrah Malaysia yang terjejas, selain meneliti perkembangan penyambungan semula operasi penerbangan komersial secara berperingkat.

Sementara itu, Perwakilan Diplomatik Malaysia di Oman, Qatar dan Bahrain turut memantau rakyat Malaysia yang berada dalam transit atau menunggu penjadualan semula perjalanan, manakala rakyat Malaysia di Iran, Iraq, Lubnan, Jordan dan Syria dilaporkan selamat dan dinasihatkan supaya terus berwaspada.

Kementerian turut mengemas kini rekod rakyat Malaysia melalui sistem e-Konsular serta bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memantau kebajikan pelajar di rantau terjejas.

Bilik Operasi Wisma Putra di Putrajaya kekal diaktifkan 24 jam sehari bagi menyalurkan bantuan konsular sekiranya diperlukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI