IPOH – Persatuan India Muslim Perak (PRIM) kesal kerana terdapat segelintir penerima bantuan dalam kalangan asnaf menjual barangan sumbangan yang sepatutnya digunakan untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusinya, Mohamed Arib Aliah berkata, tahun lalu pihaknya mengesan dua keluarga yang menerima bantuan makanan bertindak menjual barangan tersebut kepada warga asing sebaik sahaja selesai sumbangan diserahkan.
Menurutnya, bantuan berkenaan disalurkan hasil sumbangan orang ramai dan daripada ahli persatuan senndiri khusus untuk membantu golongan memerlukan membuat persiapan Aidilfitri.
“Kita susah payah dapatkan barang untuk asnaf dan tahun lepas saya dapat tahu ada dua keluarga yang terima bantuan selepas keluar pagar masjid terus ‘bertukar tangan’ kepada warga asing.
“Itu kita amat sedih kerana hajat kita hendak bagi barang kepada mereka untuk digunakan pada Hari Raya, bukan untuk dijual. Apabila kita dapat tahu, tahun ini kita tidak pilih (keluarga terlibat),” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Bantuan Hari Raya Aidilfitri PRIM di Dewan Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) Tasek di sini pada Ahad.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Biro Tugas-Tugas Khas Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak, Datuk Azizul Kama Abd Aziz yang turut dihadiri Pengerusi Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim), Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah.
Dalam pada itu, Mohamed Arib memaklumkan program berkenaan adalah sesi kedua bantuan yang dilaksanakan PRIM pada tahun ini dengan kerjasama DPMM Perak dan Masjid Muhammadiah.
Katanya, sesi pertama diadakan minggu lalu dengan barangan sumbangan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), manakala bantuan pada hari ini disediakan sepenuhnya oleh PRIM.
“Program ini telah diadakan sejak 2008 dan penerima bantuan terdiri daripada warga emas, asnaf, mualaf, orang miskin dan orang kurang upaya (OKU) adalah dalam kalangan warga kota Ipoh,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
100 anak B40 DUN Ayer Kuning gembira terima baucar beli baju raya


