Scammer kuih raya dikesan aktif sejak Disember, kerugian cecah RM300,000

GOPENG – Polis Perak mengesan tujuh kes penipuan tempahan kuih raya dan juadah melibatkan kerugian RM300,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sindiket itu dikesan mula aktif sejak Disember tahun lalu.

Menurutnya, modus operandi sindiket berkenaan bermula apabila scammer membuat pesanan atau tempahan mengikut bilangan juadah atau kuih daripada pengusaha katering atau pastri.

“Scammer ini modus operandinya memang mulanya dia membuat pesanan atau tempahan mengikut bilangan juadah ataupun kuih.

“Kemudian dia bagi tempoh masa kepada katering ataupun pengusaha ini dan dia akan terus menghubungi sekali lagi untuk item yang dia tahu macam pastri (pengusaha pastri) ini tidak akan buat.

“Apabila pengusaha ini menghubungi nombor yang diberi itu, pemilik nombor itu… dia pun akan kata boleh tempah melaluinya dengan kadar bayaran tertentu.

“Pengusaha pastri ini terus membuat bayaran dan selepas membuat bayaran, tidak lama lepas itu apabila dihubungi memang tidak dapat dihubungi langsung dan baru sedar mereka ditipu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 26 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini pada Selasa.

Noor Hisam berkata, modus operandi tersebut sebenarnya telah dikesan sejak tahun lalu dengan 66 kes penipuan direkodkan di negeri ini.

“Dalam kes ini, kedua-dua pihak sebenarnya adalah scammer. Jadi mangsa menanggung dua kerugian iaitu kos menyediakan tempahan makanan dan wang yang dibayar kepada pemilik nombor yang diberikan,” ujarnya.

Noor Hisam menasihatkan pengusaha supaya lebih berhati-hati apabila menerima tempahan, khususnya yang melibatkan jumlah besar dan berurusan secara bersemuka serta ambil deposit terlebih dahulu sebelum menyediakan pesanan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Op Selamat 26: 49 hotspot, 29 blackspot dikenal pasti di Perak

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI