Kerajaan tanggung subsidi petrol, diesel cecah RM4 billion sebulan – MOF

KUALA LUMPUR – Kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan melalui pelaksanaan program BUDI95 dan BUDI Diesel berikutan peningkatan harga minyak mentah global.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, konflik berlarutan di Asia Barat menyebabkan pasaran tenaga global dengan harga minyak mentah kini melepasi paras AS$100 setong sekali gus meningkatkan beban subsidi negara secara mendadak.

Menurut kenyataan, beban subsidi terus meningkat susulan keputusan kerajaan mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk kumpulan sasar.

“Berdasarkan harga pasaran dua minggu lalu, ketika harga minyak mentah Brent sekitar AS$90 setong, subsidi petrol dan diesel dianggarkan sekitar RM3 bilion sebulan.

“Kini, dengan harga minyak mentah mencecah AS$100 setong, beban subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan,” menurut kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook.

Subsidi bagi RON95 dan diesel bagi Januari lalu adalah sekitar RM0.7 bilion.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April 2026, susulan ketidaktentuan bekalan akibat konflik di Asia Barat.

Bagaimanapun, harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.

MOF menegaskan, hampir 90 peratus rakyat yang layak menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, dengan purata penggunaan sekitar 100 liter sebulan manakala had siling tambahan untuk operator e-hailing pula kekal pada 800 liter sebulan.

Jelas kenyataan, langkah tersebut bersifat sementara dan bersasar bagi memastikan bekalan bahan api negara terjamin tanpa menjejaskan majoriti pengguna.

Ujarnya, kerajaan terus memantau perkembangan global dan bersedia mengambil langkah tambahan bagi memastikan bekalan tenaga negara stabil serta mencukupi untuk rakyat.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan dan ketirisan subsidi, sambil menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih berhemah.

Kementerian menegaskan, kelayakan BUDI95 akan disekat sekiranya berlaku penyelewengan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI