BAGAN DATUK – Seorang nelayan ditemukan lemas selepas dipercayai melakukan kerja pemeriksaan kipas bot di dalam air di Pelantar B10, Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang di sini pada Rabu.
Mangsa, Pee Kian Kok, 55, ditemukan pada jarak 10 meter dari tempat mangsa dipercayai telah lemas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 4.28 petang semalam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Teluk Intan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai sedang melakukan kerja-kerja pemeriksaan kipas bot di dalam air sebelum dilaporkan tidak timbul semula ke permukaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, keadaan arus sungai yang deras serta cuaca hujan lebat ketika operasi dijalankan menyukarkan usaha mencari dan menyelamat.
“Operasi mencari mangsa terpaksa ditangguhkan pada jam 7.15 malam semalam berikutan faktor cuaca.
“Bagaimanapun, operasi disambung semula pagi ini dengan kaedah ‘surface searching‘ menggunakan bot aluminium selepas keadaan cuaca kembali reda,” katanya.
Katanya, mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 8.07 pagi ini pada jarak 10 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya yang memaklumkan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.30 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


