Nahas enam kenderaan: Polis masih tunggu laporan patologi pemandu Proton Satria

TANJUNG MALIM – Polis masih menunggu laporan daripada pakar patologi pemandu kereta jenis Proton Satria yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 4 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar berhampiran Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, hasil siasatan awal setakat ini, memang tiada ada unsur-unsur alkohol dan kes masih dalam siasatan.

“Ujian darah oleh (pakar) patologi masih lagi kita tunggulah untuk (mengetahui) sama ada alkohol ataupun dadah ataupun bahan-bahan terlarang dalam darah pemandu terbabit,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Muallim di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Slim River di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, Noor Hisam berharap supaya masyarakat tidak memanipulasikan isu tersebut memandangkan tren sekarang yan bermula daripada kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dan positif dadah di Klang, Selangor baru-baru ini.

“Saya tengok semua orang hendak memanipulasi isu pemandu mabuk ini. Kes ini masih dalam siasatan polis kontinjen Perak khususnya di Kampar. Kita tunggu (keputusan ujian) patologi dahulu,“ jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang penunggang motosikal cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 4 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar berhampiran Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, dalam kejadian jam 6.42 petang Selasa lalu, wanita berusia 19 tahun itu mengalami patah tulang rusuk kiri dan tulang pinggul kanan selain kecederaan di kepala, tengkuk serta luka di kaki.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan lima kereta dan sebuah motosikal. Berdasarkan maklumat awal, sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu oleh seorang wanita berusia 31 tahun bersama dua kanak-kanak masing-masing berusia lima dan tujuh tahun telah keluar dari bahu jalan.

Tambahnya. riba-tiba datang sebuah kereta Proton Satria yang dipandu oleh lelaki berumur 59 tahun dari arah hadapan dan melanggar bahagian hadapan kereta Viva sehingga kereta ini terbalik dan turut melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR sehingga penunggangnya tercampak ke tengah jalan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Cadang pasang pembahagi jalan berhampiran sekolah, elak kemalangan berulang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI