Subsidi bahan api wajar diperluas kepada semua pekerja perkhidmatan

KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyokong cadangan Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU) agar kerajaan mempertimbangkan semula pemberian kuota subsidi bahan api sebanyak 300 liter kepada pekerja kesihatan.

Setiausaha Agung UNI-MLC, Mohd Effendy Abdul Ghani menegaskan, ia wajar diperluas kepada semua pekerja dalam sektor perkhidmatan memandangkan peningkatan kos sara hidup dan keperluan mobiliti yang tinggi ketika ini.

Menurutnya, cadangan tersebut adalah berasas memandangkan tekanan kos semasa yang dipacu oleh krisis tenaga global memberi kesan langsung kepada pekerja yang tidak mempunyai pilihan bekerja dari rumah.

“Keperluan subsidi bahan api tidak seharusnya terhad kepada petugas kesihatan sahaja, sebaliknya melibatkan ribuan pekerja barisan hadapan lain termasuk sektor pos dan logistik seperti Pos Malaysia serta utiliti dan telekomunikasi seperti Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Golongan ini memainkan peranan kritikal dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat dan ekonomi negara, namun, terdedah kepada kos operasi harian yang tinggi terutama peningkatan harga bahan api tanpa perlindungan bersasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berpandangan pendekatan pemotongan subsidi secara menyeluruh adalah tidak wajar kerana banyak sektor pekerjaan bergantung sepenuhnya kepada mobiliti harian bagi melaksanakan tugas.

Sehubungan itu beliau berkata, UNI-MLC mengemukakan tiga cadangan utama kepada kerajaan iaitu memperluas subsidi bahan api secara bersasar kepada semua sektor perkhidmatan perlu, menetapkan kerangka dasar yang jelas dan inklusif bagi menentukan kelayakan serta memastikan pelaksanaannya telus, adil dan tidak membebankan mana-mana pihak.

Jelasnya, langkah tersebut mampu memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, selain mengelakkan ketirisan serta ketidakadilan dalam pelaksanaan dasar.

Dalam pada itu, Mohd Effendy menegaskan, kebajikan pekerja perkhidmatan perlu tidak boleh dipinggirkan dalam usaha negara menuju ke arah ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.

Katanya, sokongan dasar seperti subsidi bersasar bukan sahaja membantu mengurangkan beban kos pekerja, malah memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan ekonomi negara.

“UNI-MLC menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan serta pihak berkepentingan dalam merangka penyelesaian yang praktikal, seimbang dan menyeluruh demi kepentingan bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI