IPOH – Kerajaan perlu memberi perhatian kemungkinan munculnya kumpulan miskin baharu atau yang tidak kekal berada di atas paras kemiskinan disebabkan berhadapan faktor-faktor tertentu.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, antaranya faktor hutang, kesihatan, kos hidup yang meningkat, perpindahan, krisis rumah tangga, kematian ketua isi rumah dan sebagainya.
Titah baginda, usaha membasmi kemiskinan merupakan usaha yang kompleks dan memerlukan pendekatan pelbagai secara berterusan.
“Fokus perlu diberikan kepada usaha untuk meningkatkan modal budaya dan modal sosial ahli keluarga yang berada dalam kategori miskin, terutama anak-anak keluarga miskin melalui peluang pendidikan yang saksama.
“Program pendidikan terbukti merupakan salah satu program rekayasa sosial yang berjaya mengubah status sosial dan status ekonomi individu dan keluarga,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Baginda bertitah, pendidikan merupakan teras utama pembangunan modal insan dan pelbagai inisiatif kini dirintis bagi memastikan tiada pelajar tidak mendapat akses kemudahan pendidikan serta tiada yang tercicir daripada arus pembelajaran.
Sultan Nazrin bertitah, pelancaran Sekolah Terapung (PROKHAS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Kemar, Hulu Perak yang menggunakan model pembelajaran di atas air, telah membantu mengatasi isu keciciran murid Orang Asli di kawasan pedalaman.
“Program Pendidikan Komprehensif K11 yang dilancarkan memastikan lebih 1,761 murid Orang Asli di tiga buah sekolah rintis dapat menamatkan pengajian hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Dalam usaha memastikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup dan pembelajaran murid di asrama.
“Antaranya pelaksanaan Program Asrama Harian, Sistem Keluarga Asrama (SisKA), Program Kelas TAKMIR, Program Transformasi Asrama MADANI, Bantuan Persekolahan Khusus Asrama dan Penyediaan Kemudahan Perabot Asrama.” titah baginda.
Baginda bertitah, sepanjang 2025, sebanyak RM5.83 juta pembiayaan Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak telah memberi manfaat kepada 873 orang pelajar.
“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), telah menyalurkan dua puluh enam perpuluhan satu juta ringgit bantuan pendidikan kepada empat puluh lima (45,066) ribu orang pelajar.
“Yayasan Perak pula menyediakan peruntukan enam belas perpuluhan tujuh (16,655,455.00) juta ringgit untuk membiayai pelbagai program pemerkasaan pendidikan,” titah Sultan Nazrin. -MG Perak


