IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyifatkan program MESRA Hari Bertemu Pelanggan anjuran kerajaan negeri berjaya merapatkan jurang antara rakyat dengan pentadbiran negeri.
Baginda bertitah, ia melalui interaksi bersemuka, penyampaian perkhidmatan secara terus serta penyelesaian isu secara lebih pantas lagi berkesan.
“Dalam era pentadbiran yang menuntut ketelusan, kecekapan serta kepekaan terhadap aspirasi rakyat, sejak tahun 2022, kerajaan Beta telah memperkenalkan inisiatif untuk memperkukuh pendekatan tadbir urus yang responsif melalui Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan.

“Program ini secara keseluruhannya menjadi simbol kepada transformasi pendekatan pentadbiran kerajaan Beta yang lebih terbuka, telus dan responsif, berpaksikan rakyat,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Titah baginda lagi, program MESRA Hari Bertemu Pelanggan membuktikan iltizam jentera pentadbiran negeri yang prihatin, bersedia mendengar, memahami dan mengambil tindakan susulan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat.

4″Program ini berperanan sebagai wahana penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kerajaan dan rakyat.
“Melalui pendekatan yang lebih terbuka dan inklusif, program ini membolehkan rakyat menyuarakan pandangan, cadangan serta permasalahan secara langsung kepada pihak berwajib,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menambah, ia sekali gus memastikan suara rakyat diberikan perhatian sewajarnya.
Titah baginda lagi, sebanyak lapan program telah laksanakan di sekitar negeri Perak sepanjang 2025. -MG Perak


