IPOH – Kerajaan Perak memperkukuh sektor pertanian melalui peruntukan lebih RM31 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan dan pengurusan padi di negeri ini.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, peruntukan tersebut melibatkan RM19.84 juta bagi Pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan RM12 juta bagi IADA Seberang Perak.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebahagian besar disalurkan kepada Program Pembangunan dan Pengurusan Padi yang merangkumi kerja-kerja perataan tanah, pemuliharaan tanah serta naik taraf infrastruktur sawah.
“Langkah ini secara langsung membantu mengurangkan kos operasi pesawah selain meningkatkan keberkesanan pengurusan air sawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.
Mohd Zolkafly berkata, setakat ini, seramai 15,460 pesawah di negeri ini telah menerima manfaat secara langsung daripada pelbagai insentif dan program bantuan kerajaan Persekutuan termasuklah Bantuan Agro Komoditi dan Insentif Pembajakan yang telah ditambah baik.
Katanya, kerajaan negeri memahami sektor pertanian ketika ini berdepan tekanan susulan peningkatan kos input seperti benih, baja, racun, diesel serta kos mekanisasi dan logistik akibat ketidaktentuan global.
“Kos kerja ladang seperti pembajakan dan perataan tanah turut meningkat sehingga 70 hingga 80 peratus, sekali gus memberi kesan langsung kepada pendapatan pesawah.
“Atas faktor itu, pelbagai langkah intervensi dan mitigasi dilaksanakan secara berterusan melalui agensi berkaitan bagi memastikan kesan kenaikan kos dapat diminimumkan,” katanya.
Menyentuh isu perladangan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu berkata, kerajaan negeri menetapkan sehingga akhir tahun ini bagi tempoh peralihan kepada sistem reban ayam tertutup yang lebih moden dan mampan sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan, 1 Januari 2027.
Katanya, berdasarkan rekod, sebanyak 203 ladang telah menggunakan sistem reban tertutup sepenuhnya, manakala 177 lagi masih beroperasi secara terbuka termasuk 52 ladang milik usahawan Bumiputera.
“Langkah ini penting bagi meningkatkan tahap biosekuriti selain menangani isu pencemaran seperti gangguan lalat dan bau yang sering dibangkitkan masyarakat,” katanya.


