TAIPING – Selepas hampir lapan tahun menyertai pertandingan robotik, pasukan Mechabotics Technology Sdn Bhd akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung pada Pertandingan Robot Antarabangsa Perak (PIRC) yang diadakan bersempena Karnival Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik (AIROC) Antarabangsa Jabatan Tenaga Manusia (JTM) 2026.
Pasukan yang terdiri daripada Ts Muhammad ZulhelmiKamarudin, 33; Muhammad Aiman Noor Amali, 24, dan Muhammad Aniq Qusyairi Aryus, 28, itu memenangi kategori 3 kilogaram (kg) Auto Robot Sumo Magnetic menerusi robot ciptaan mereka, Mechabot One.
Kemenangan tersebut melayakkan mereka untuk mewakili Malaysia ke International FSI Robot-Sumo Tournament 2026 di Jepun yang dijadualkan berlangsung pada Disember ini.
Muhammad Zulhelmi berkata, penyertaan konsisten sejak beberapa tahun lalu akhirnya membuahkan hasil apabila rezeki memihak kepada pasukan mereka tahun ini.
“Setiap tahun kami menyertai sejak 2018 dan alhamdulillah pada tahun ini rezeki memihak kepada kami untuk mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Kita ada lebih kurang dalam enam ke lapan bulan lagi untuk persiapan. InshaAllah kami akan menambah baik lagi dengan teknologi apa yang kami pakai sekarang untuk beraksi di pentas antarabangsa akan datang,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah PIRC yang disampaikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan pada AIROC 2026 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) JTM di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JTM, Ts Dr Aruna Ismail; Pengarah ADTEC JTM Kampus Taiping, Jamil Yahya; Pengerusi Persatuan i-Robotik Pulau Pinang, Ts Zamzuri Hassan dan Pengarah Proton Institute Melaka, Ts Dr Norhuda Salim.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan robot mereka memerlukan kajian mendalam termasuk meneliti teknologi pesaing serta inovasi baharu bagi meningkatkan prestasi.

“Berkaitan research (kajian) memang agak lama sebab kami juga study (belajar) bagaimana teknologi yang digunakan oleh pihak lawan dan teknologi terbaharu yang boleh digunapakai untuk menambahbaikkan robot yang dibangunkan.
”Alhamdulillah, walaupun masa agak kekurangan dan juga bajet yang agak terhad, kami juga dapat menghasilkan robot yang dapat mengalahkan lawan dengan baik,” jelasnya.
Dari segi kos, beliau berkata, setiap robot dihasilkan secara ‘DIY’ (buat sendiri) dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 seunit, dengan keseluruhan empat robot yang dibangunkan.
Mengulas misi di Jepun, Muhammad Zulhelmi berharap pasukannya dapat memberikan saingan terbaik dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Sekolah Tun Fatimah (STF) yang diwakili Nur Danisha Azzahra Rosli dan Helena Zahra Mohd Hanafee, masing-masing berusia 14 tahun yang mempertaruhkan Drax 12 telah memenangi kategori 500g Auto Robot Sumo pada pertandingan tersebut.
Nur Danisha Azzahra berkata, pencapaian tersebut adalah sesuatu yang tidak dijangka dan ia adalah pengalaman pertama mereka mara.
“Ini kali pertama kami sampai ke peringkat seperti ini dan kami rasa sangat bersyukur. Walaupun, kami mempunyai masa selama seminggu, tapi kami sempat juga bersedia untuk sampai sekarang,“ katanya.
Katanya, pasukan mereka akan mempergiatkan latihan dalam tempoh dua bulan akan datang bagi menghadapi cabaran di Jepun.
Selain itu, dua pasukan dari Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi yang memenangi kategori 3kg Remote Control Robot Sumo Magnetic menerusi FPKPTMBG serta pasukan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Perdana, Negeri Sembilan yang mengungguli kategori 500g Remote Control Robot Sumo melalui Inpers 4 turut layak mengikut jejak dua pasukan tersebut berentap di Jepun.
Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai, baucar, medal dan sijil penyertaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


