MANJUNG – Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera parah selepas dipercayai menjadi mangsa samun di kediaman mereka di Jalan Melayu, Ayer Tawar awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 5.30 pagi melalui kaunter aduan Balai Polis Ayer Tawar.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati pasangan suami isteri warga emas itu diserang seorang lelaki tidak dikenali di rumah mereka sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius akibat dipukul menggunakan objek keras.
“Suspek dipercayai melarikan dua unit telefon bimbit serta beg duit milik mangsa sebelum melarikan diri.
“Jiran yang terdengar bunyi bising kemudian datang membantu dan membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa lelaki yang berusia 84 tahun bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis daripada Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun pada jam 7.45 petang hari yang sama,” ujarnya.
Katanya, polis turut merampas barangan milik mangsa yang dipercayai dilarikan suspek.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
“Suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 14 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan hadir ke IPD Manjung atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau hotline WhatsApp 017-682 8005. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


