Bot PATI karam: SAR fokus kawasan penemuan mayat sebelum ini

LUMUT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari ini bagi mengesan tujuh mangsa yang masih hilang selepas bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor pada Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari keempat diteruskan hari ini, dengan keluasan sektor pencarian diperluas kepada 219.01 batu nautika persegi.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan tujuh aset iaitu enam aset laut dan sebuah pesawat udara daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Pasukan Polis Marin (PPM).

“Operasi bermula seawal jam 7.30 pagi itu tertumpu kepada sektor-sektor pencarian di kawasan penemuan mayat mangsa yang berjaya ditemukan pada hari kedua.

“Maritim Malaysia bersama agensi sahabat akan terus komited melaksanakan operasi ini sehingga semua mangsa berjaya ditemui,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam kejadian Isnin lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia karam di perairan berkenaan.

Seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan, terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita manakala tujuh mayat sudah ditemukan.

Kelmarin, empat mayat ditemukan terapung di perairan Pulau Talang sebelum tiga lagi mayat ditemukan semalam kira-kira 20 batu nautika dari lokasi aduan bot tenggelam.

Mereka yang selamat ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bagi membantu siasatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kesemua mangsa dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei lalu dan dalam perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bot karam: Mayat berisiko dihanyutkan lebih jauh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI