TAIPING – UMNO Johor menangkis dakwaan yang menuduh parti melakukan khianat susulan keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, ini kerana BN berjaya membentuk kerajaan di Johor secara sendiri selepas memenangi PRN pada Mac 2022.
Malah beliau berkata, keputusan penubuhan kerajaan yang diketuai BN itu dibuat lebih awal daripada penubuhan Kerajaan Perpaduan di Persekutuan pada November 2022.
“Tidak timbul dakwaan khianat, dan pihak-pihak yang menuduh UMNO sebagai melakukan khianat itu merupakan sudut pandangan politik yang salah.
“Kita (BN dan Pakatan Harapan (PH) masih belum bersama semasa kita menang (PRN Johor. Oleh itu,tidak ada sebarang pengkhianatan kerana kami menang sebelum wujud Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sesi Lawatan Kerja Dan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan di Hospital Taiping, pada Selasa.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, selain daripada kehendak akar umbi parti di seluruh negeri, keputusan positif PRN 2022 juga menjadi antara faktor kepada UMNO untuk bergerak solo pada PRN akan datang.
Malah tegas beliau, BN bertanding secara solo dalam saingan tiga dan empat penjuru menentang pelbagai parti politik termasuk PH dan Perikatan Nasional (PN).
“Semasa PRN sebelum ini, UMNO/BN berlawan tiga penjuru, empat penjuru dan kita bukan menang atas nama Kerajaan Perpaduan pada Mac 2022.
“Siapa khianat siapa? Lainlah kalau ketika itu kami dibantu oleh PH, atau orang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), atau DAP, sehingga BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN. Tetapi itu tidak berlaku. Oleh sebab kemenangan lalu, kami yakin untuk bertanding di semua kerusi DUN,” katanya lagi.
Mengulas sama ada kenyataan pemimpin PH dalam konvensyen baru-baru ini boleh memberi kesan kepada hubungan politik menjelang PRN dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Ahmad berkata, Johor mempunyai situasi politik yang berbeza berbanding negeri lain.
“Johor unik daripada negeri-negeri lain, begitu juga Melaka. Kita tengok juga apa keputusan Melaka dan Sarawak nanti.
“Ketiga-tiga negeri ini membentuk kerajaan sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan,” ujarnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


