IPOH – Bergelar wanita bekerja dan seorang ibu bukanlah tugas mudah namun tanggungjawab yang digalas mampu dipenuhi jika mendapat sokongan keluarga.
Penerima Anugerah Inspirasi Ibu sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Perak Tahun 2026, Deputi Superitendan Nirmala Arumugam berkata, kejayaan yang diterimanya itu merupakan penghargaan di atas sokongan semua pihak terutamanya ahli keluarga beliau.
Ibu kepada lima cahaya mata itu juga berkata, dia akan terus memberikan sumbangan kepada masyarakat selagi berada di dalam perkhidmatan awam serta selepas berpencen.

“Saya amat-amat gembira dan terima kasih kepada LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) yang mencalonkan saya untuk menerima anugerah ini.
“Saya juga akan terus memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bentuk mana yang boleh saya sumbangkan selagi berada di dalam perkhidmatan awam dan juga selepas berpencen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Perak 2026 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed yang turut menyampaikan anugerah berkenaan kepada Nirmala.

Bercerita mengenai dirinya, Ketua Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak itu berkata, suaminya merupakan ‘tulang belakang’ disebalik kejayaan yang dikecapinya.
Beliau berkata, kejayaan seorang wanita yang bergelar ibu memerlukan kerjasama antara pasangan masing-masing yang saling menyokong antara satu sama lain.
“Kalau saya bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi kerana ia memerlukan dua pihak dan macam saya katakan suami adalah tulang belakang selama ini.
“Kami sama-sama berganding bahu membesarkan anak-anak dari aspek pembelajaran dan pendidikan serta yang lain-lain sehinggalah anak sulung kami telah pun mendirikan rumah tangga,” katanya.
Nirmala turut berkongsi bagaimana dia membahagikan masa sebagai seorang ibu dan juga anggota polis dalam memastikan tanggungjawab yang dipikulnya itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Beliau berkata, sebagai seorang isteri, ibu dan anggota polis dia sentiasa menyesuaikan peranan dan tanggungjawabnya mengikut situasi di mana dia berada.
“Bila kita di rumah, kita adalah ibu dan isteri kepada seorang suami dan anak-anak. Bila kita bekerja, kita adalah seorang penjawat awam yang memikul jawatan untuk bertugas kepada masyarakat.
“Jadi kita tidak boleh menggabungkan kedua-duanya sekali. Sebagai contoh bila saya pegawai polis saya tidak boleh menunjukkan kuasa di rumah dan begitu juga sebaliknya,” katanya.
Katanya, cara beliau medekati anak-anak di rumah amat berbeza dengan cara mendekati masyarakat ketika menjalankan tugas dalam memastikan emosinya sentiasa terjaga.
“Kepada ibu di luar sana sentiasa tahu keutamaan anda dan janganlah berasa tertekan kerana bila kita berada dalam situasi berkenaan sukar untuk kita mengejar kejayaan,” katanya. -MG Perak


