KUALA LUMPUR – Seorang sumber tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa kenyataan Presiden Pas , Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini memberi gambaran seolah-olah mereka sedang mencari jalan untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dan bergerak bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin serta gerakan dikaitkan dengan ‘Reset’.
Sumber yang enggan namanya disiarkan itu berkata, kenyataan Abdul Hadi mengenai ‘sabar ada batas’ selain mendakwa Pas sedang mempertimbangkan semula kerjasama dengan Bersatu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pimpinan gabungan berkenaan.
Katanya kepada MalaysiaGazette hari ini, tindakan Pas yang dilihat semakin terbuka mempertahankan Hamzah juga menimbulkan tanda tanya memandangkan pemimpin itu sebelum ini dipecat Bersatu kerana didakwa membelakangkan parti serta Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Hamzah dipecat Bersatu kerana tindakan mengkhianati parti dan membelakangkan Presiden dalam pelbagai keadaan.
“Tetapi sekarang Pas pula dilihat begitu memuja Hamzah. Jadi adakah itu namanya setiakawan dalam gabungan?” soalnya.
Sumber itu turut mendakwa terdapat pemimpin serta akar umbi Pas yang mula menunjukkan rasa kurang senang terhadap beberapa keputusan dan pendekatan politik pimpinan tertinggi parti sejak kebelakangan ini.
Katanya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan polemik dalaman yang semakin terbuka boleh menjejaskan keyakinan penyokong selain menggugat semangat setiakawan dalam PN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Menurut sumber itu, kenyataan Abdul Hadi juga dilihat bercanggah dengan pendirian rasmi PN sebelum ini yang mengarahkan semua parti komponen tidak mengkritik rakan gabungan secara terbuka.
Katanya, pada 13 Mei lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan rasmi mengingatkan semua pimpinan dan ahli parti komponen supaya tidak membuat kritikan secara semberono terhadap mana-mana parti dalam PN.
“Jadi mengapa sekarang masih ada kenyataan terbuka seperti ini sehingga memberi gambaran hubungan dalam PN semakin retak?
“Lebih mengecewakan apabila kenyataan itu datang daripada Presiden Pas sendiri sedangkan arahan supaya isu dalaman dibincang secara musyawarah sudah pun dikeluarkan,” tegasnya.
Sumber itu berkata, jika mahu dibangkitkan soal setiakawan dalam gabungan, banyak perkara lain juga boleh dipersoalkan termasuk isu membabitkan apa yang digelar sebagai ‘Langkah Bangkok’.
Katanya, Bersatu sebelum ini mengambil tindakan tegas memecat beberapa individu yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok tanpa pengetahuan kepimpinan parti.
“Bersatu ambil tindakan pecat terhadap mereka yang pergi berjumpa Ahmad Zahid di Bangkok kerana dianggap melanggar disiplin dan mengkhianati parti.
“Tetapi apa pula tindakan Pas terhadap Takiyuddin dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut dikaitkan dengan pertemuan itu?
“Bukankah tindakan pergi berjumpa Ahmad Zahid tanpa memaklumkan kepada Muhyiddin dan kepimpinan Bersatu juga boleh dianggap melanggar semangat setiakawan dalam PN?” soalnya lagi.
Tegasnya, Bersatu tidak pernah membangkitkan perkara berkenaan secara terbuka demi menjaga kestabilan gabungan.
“Kalau mahu buka satu demi satu isu dalaman, memang banyak perkara boleh dipersoalkan. Tetapi selama ini Bersatu memilih untuk tidak mengeruhkan keadaan secara terbuka,” katanya.
Sumber itu turut mempersoalkan sama ada pernah wujud situasi Bersatu mengambil atau mengangkat pemimpin yang dipecat Pas sebelum ini.
“Pernah ke Bersatu ‘kutip’ mana-mana pemimpin yang dipecat Pas dan kemudian mengangkat mereka?
“Itu sebab ramai ahli akar umbi mula tertanya-tanya ke mana sebenarnya hala tuju Pas dalam PN ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, sumber berkenaan turut mempertikaikan kenyataan Abdul Hadi yang dikatakan terbuka untuk mempertimbangkan kemasukan parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah ke dalam PN.
Katanya, soal menerima mana-mana parti baharu ke dalam PN bukan keputusan individu sebaliknya perlu diputuskan Majlis Tertinggi PN.
“Itu kerja Majlis Tertinggi PN. Abdul Hadi sendiri bukan ahli MT PN kerana beliau memilih untuk tidak berada dalam struktur itu.
“Malah ketika jawatan Pengerusi PN diberikan sebelum ini, beliau sendiri tidak mahu ambil. Tetapi sekarang beliau bercakap di luar seolah-olah beliau pula Pengerusi PN,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, Pas sedang menilai semula bentuk kerjasama politik dengan Bersatu susulan beberapa isu termasuk tindakan ADUN Bersatu di Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Beliau turut memberi bayangan kesabaran Pas mempunyai had selain mendakwa terdapat beberapa tindakan Bersatu yang disifatkan tidak menghormati semangat setiakawan dalam PN. -MalaysiaGazette


