IPOH – Komuniti Orang Asli melahirkan rasa teruja apabila berpeluang menyaksikan dan menyertai ibadah korban yang diadakan di Kampung Chadak, Ulu Kinta di sini sempena hari kedua sambutan Aidiladha.
Tinjauan Malaysia Gazette (MG) Perak mendapati, penduduk kampung terutama kanak-kanak Orang Asli mula berkumpul sekitar jam 8 pagi di lokasi bagi melihat secara dekat proses penyembelihan dan pengagihan daging korban yang dijalankan.
Suasana meriah jelas kelihatan apabila penduduk setempat bersama sukarelawan bergotong-royong melaksanakan ibadah tersebut, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti Orang Asli di kawasan itu.

Penyembelihan lembu itu disempurnakan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Muhammad Asirullah Abdul Latif.
Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, beliau meneruskan tradisi tahunan melaksanakan ibadah korban di kawasan penempatan Orang Asli kerana memahami keadaan kehidupan penduduk yang memerlukan bantuan dan perhatian berterusan.
Menurutnya, kebiasaannya ibadah korban itu akan dilakukan di Kampung Chadak tetapi kali ini Kampung Makmur dan Kampung Sungai Choh turut serta memandangkan majoriti penduduk Orang Asli di kampung terbabit beragama Islam.
Tambahnya, sebanyak empat ekor lembu korban diagihkan pada tahun ini membabitkan kampung-kampung tersebut dengan saiz lembu melebihi 200 kilogram seekor.

“Saya buat (ibadah korban) di sini setiap tahun kerana mereka dalam golongan yang memerlukan dan kehidupan mereka tidak sama dengan kehidupan kita di luar sana.
“Jadi, saya akan sentiasa beri bantuan bukan sahaja ketika waktu raya korban tapi pelbagai yang perlu kita bantu di Kampung Chadak,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata, tahun lepas hanya tiga ekor lembu dikorbankan namun ia bertambah pada tahun ini memandangkan sumbangan semakin meningkat termasuk seekor lembu daripada sumbangannya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Chadak, Leman Pandak menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan Mazlan yang disifatkan sentiasa konsisten membantu penduduk setiap tahun.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Tok Lan (Mazlan) kerana memberi sumbangan lembu korban sebanyak empat ekor untuk ketiga-tiga kampung Orang Asli.
“Justeru, kami berharap setiap tahun program ini akan diteruskan memandangkan di sini kami mempunyai 150 keluarga yang beragama Islam.
“Hari ini, kami akan masak sup dengan daging itu serta mengagihkan 1 kilogram (kg) daging untuk setiap keluarga di sini,” ujarnya.
18 ekor lembu ‘tumbang’ di Masjid An-Nur Batu 8 Ulu Kinta
Sementara itu, sebanyak 18 ekor lembu dikorbankan dalam Program Ibadah Korban yang berlangsung di Masjid An-Nur Batu 8 Ulu Kinta di sini hari ini.
Pengerusi Masjid An-Nur Batu 8 Ulu Kinta, Fadzil Ahmad berkata, program itu melibatkan penyertaan ahli kariah serta sumbangan daripada wakil rakyat setempat.

“Untuk makluman lembu yang disembelih pagi ini sebanyak 18 ekor, 15 daripada ahli kariah, bakinya daripada Parlimen Tambun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta serta Parlimen Tambun kepada Persatuan India Muslim Perak (PRIM).
“Kita peruntukan kepada asnaf sebanyak 300 bungkus, untuk pekerja, orang awam, petugas lebih kurang 300 bungkus dan ada jika lebih akan agihkan ke tempat lain.
“Satu ekor lembu dari jatuh hingga siap melapah mengambil masa satu jam untuk proses keseluruhan.

“Setiap tahun program kita dilaksanakan untuk kariah dan orang yang ingin melaksanakan ibadah korban dan jumlah lembu pada tahun ini meningkat berbanding 12 ekor sahaja pada tahun lalu,” jelasnya yang memaklumkan seramai 300 petugas termasuk sukarelawan terlibat dalam program tersebut.
Beliau memaklumkan setiap lembu dibeli pada harga RM5,000 seekor dengan RM800 untuk satu bahagian korban. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


