KUALA LUMPUR – Karnival Belia Madani Padang Rengas tidak wajar dinilai hanya berdasarkan elemen hiburan semata-mata kerana objektif utamanya adalah untuk mendekati golongan belia, menyediakan ruang aktiviti sihat serta mengukuhkan hubungan antara masyarakat dan pelbagai agensi yang terlibat.
Ketua Wanita Keadilan Padang Rengas merangkap Ahli Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Nor Azlina Nordin berkata, pandangan terhadap program tersebut perlu dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira pengisian serta manfaat yang disediakan kepada belia dan komuniti setempat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Dewan Muslimat Pas Padang Rengas, Husna Saidon yang mempertikaikan penganjuran Karnival Belia Madani Padang Rengas yang berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun lalu.
Sebelum ini, Husna dilaporkan mendakwa, sekolah sebagai institusi pendidikan tidak seharusnya dijadikan lokasi hiburan kerana dikhuatiri boleh menormalisasikan budaya hiburan dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, guru-guru perlu lebih berhati-hati dalam mendidik generasi muda agar hiburan tidak menjadi sebahagian daripada budaya hidup mereka.
Mengulas perkara itu, Nor Azlina menjelaskan bahawa karnival berkenaan bukan sekadar program hiburan, sebaliknya menghimpunkan pelbagai aktiviti pembangunan belia yang melibatkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sukan, pendidikan, keusahawanan, kesukarelawanan serta program kemasyarakatan.
“Kami menghormati pandangan semua pihak, namun adalah lebih baik menilai program secara menyeluruh berdasarkan pengisian dan manfaat yang diberikan kepada belia serta komuniti setempat.
“Belia perlu dibimbing melalui penglibatan aktif dalam program yang sihat, bukan dijauhkan daripada ruang pembangunan diri dan komuniti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menjelaskan bahawa, penggunaan sekolah sebagai lokasi program bukanlah sesuatu yang luar biasa memandangkan institusi pendidikan sering berfungsi sebagai pusat komuniti bagi pelaksanaan aktiviti sukan, kem kepimpinan, program motivasi serta pelbagai aktiviti pembangunan masyarakat.
Tambah beliau, penganjuran Karnival Belia Madani Padang Rengas selaras dengan matlamat pembangunan belia dan komuniti setempat melalui pendekatan yang menggalakkan penyertaan aktif golongan muda dalam aktiviti berfaedah. – MalaysiaGazette


