IPOH – Bekas Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Polis Perak yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Datuk Noor Hisam Nordin yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman berkuat kuasa 15 Jun depan.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.
Mohd Alwi, 58, yang berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang bermula April 2024 hingga Mei 2026 pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan Perkhidmatan Bukit Aman.
Anak kelahiran Pusing, Perak itu juga telah berkhidmat selama 35 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada majlis sama, Datin Noormawati Abdul Latip turut menyerahkan tugas kepada Datin Wan Norazah WanChik sebagai Pengerusi Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) yang baharu.
Sementara itu, Noor Hisam dalam ucapannya berpuas hati walaupun memegang jawatan Ketua Polis Perak dalam tempoh singkat, beliau telah berusaha sebaik mungkin, untuk memastikan kontinjen Perak sentiasa berada di landasan pencapaian kepada pelbagai sasaran yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan.
Untuk rekod, Noor Hisam memikul tanggungjawab tersebut selama setahun tiga bulan bermula 17 Februari tahun lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


