TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemukan selamat selepas hilang di Gunung Batu Putih sejak dua minggu lalu, bertahan hidup dengan meminum air embun dan memakan tumbuhan liar sepanjang berada di dalam hutan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa turut memaklumkan tidak minum air selama tiga hari sebelum bergantung kepada sumber semula jadi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Mangsa memaklumkan bahawa ada ketikanya dia tidak meminum air selama tiga hari dan hanya bertahan dengan meminum air embun.
“Selepas tempoh tersebut, dia bergantung kepada sumber air sungai serta memakan tumbuh-tumbuhan liar yang ditemui di dalam hutan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah di sini pada Sabtu.
Sabarodzi memberitahu, berdasarkan pemeriksaan awal kesihatan, Jaslinda berada dalam keadaan stabil, namun hanya mengalami kecederaan ringan termasuk gigitan serangga serta luka kecil di kepala akibat terjatuh.
Beliau berkata, kesan luka tersebut disebabkan wanita itu dikatakan terjatuh beberapa kali termasuk di kawasan sungai dalam sepanjang tempoh usahanya mencari jalan keluar.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang berada di dalam hutan, keadaan fizikal dan mental mangsa didapati sangat kuat.
“Dia merupakan seorang wanita yang kuat dan tabah serta berjaya mengharungi pengalaman getir ini dengan selamat,” katanya lagi.

Mengulas laluan yang dilalui mangsa, Sabarodzi berkata, Jaslinda sebenarnya berada dalam kawasan pencarian pasukan penyelamat sepanjang tempoh kehilangan.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan beberapa kali bergerak turun dan naik dari kawasan sungai selain mengakui pernah sampai ke kawasan Gunung Rayu dan Bukit Berapit.
“Kawasan-kawasan berkenaan sememangnya telah dimasuki oleh pasukan penyelamat sebelum ini. Bagaimanapun, mungkin faktor mangsa yang sentiasa bergerak menyebabkan kedudukannya sukar dikesan lebih awal walaupun kawasan yang dilaluinya merupakan kawasan yang sama sedang dilalui pasukan mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.
Sabarodzi berkata, sepanjang tempoh kehilangan kira-kira dua minggu, mangsa mendakwa tidak mendengar bunyi helikopter penyelamat walaupun aset udara digunakan secara aktif sepanjang operasi SAR.
“Ini mungkin antara perkara yang terdapat faktor lain kerana operasi udara memang dilaksanakan di ruang udara kawasan pencarian mangsa.
“Namun, apa yang paling penting ialah mangsa akhirnya berjaya keluar dan ditemukan dalam keadaan selamat seperti yang didoakan semua pihak,” katanya.
Berhubung penemuan mangsa, beliau berkata, Jaslinda dipercayai menyusuri laluan anak sungai sebelum akhirnya bertemu dengan pemancing yang membawanya keluar ke kawasan penempatan di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.
Kata Sabarodzi, penduduk kampung kemudian membawa mangsa ke rumah Tok Batin sebelum pasukan bomba tiba untuk memberikan rawatan awal kira-kira jam 8 malam.
“Mangsa seterusnya dibawa keluar menggunakan jentera EMRS dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di Hospital Tapah pada jam 9.20 malam,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


