TELUK INTAN – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Perak, di sini yang menelan belanja RM80.5 juta dijangka menjadi penyelesaian menyeluruh kepada masalah banjir yang membelenggu penduduk bandar itu sejak lebih 50 tahun lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek berimpak tinggi yang dilaksanakan serta-merta itu dijadualkan siap sepenuhnya pada Mei 2028.
Katanya, Projek Pembangunan Tebatan Banjir Teluk Intan Zon A Fasa Kedua itu bakal memberi perlindungan jangka panjang kepada penduduk setempat daripada ancaman bencana banjir.
“Setiap kali tiba musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar berlaku, ramai penduduk Teluk Intan hidup dalam kebimbangan.
“Kerisauan rakyat adalah kerisauan saya juga. Justeru, pelaksanaan projek RTB ini merupakan langkah penting bagi memberikan perlindungan jangka panjang kepada penduduk serta memastikan bandar Teluk Intan bebas daripada ancaman banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Tebatan Banjir Teluk Intan, pada Ahad.
Kor Ming berkata, projek yang dibangunkan itu melibatkan pembinaan infrastruktur tebatan banjir sepanjang 5.65 kilometer berhampiran Sungai Perak.

Beliau berkata, ia berfungsi sebagai benteng bagi menghalang limpahan air dari sungai berkenaan ke Bandar Teluk Intan serta kawasan sekitar.
Jelas beliau, walaupun fasa satu projek tebatan banjir berjaya disiapkan pada tahun 2019, namun masih terdapat beberapa kawasan perumahan yang terjejas akibat limpahan air pasang.
“Pelaksanaan projek pada fasa kedua ini akan dapat menyelesaikan isu ini secara lebih menyeluruh dan berkesan.
“Apabila siap nanti, jumlah keseluruhan jajaran RTB di Teluk Intan adalah sepanjang kira-kira tujuh kilometer,” katanya lagi.
Ujar Kor Ming, projek berkenaan turut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Jelas beliau, selain fungsi utama sebagai infrastruktur mitigasi banjir, RTB itu turut dilengkapi kemudahan awam lain seperti lorong berbasikal, laluan joging serta landskap hijau untuk kegunaan komuniti setempat.
Tambah beliau, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada ribuan penduduk apabila siap kelak dengan melindungi kawasan kediaman, premis perniagaan dan infrastruktur awam daripada risiko banjir.
“Projek ini juga sekali gus akan meningkatkan taraf hidup dan aktiviti ekonomi setempat. Pelaksanaan projek juga akan dipantau rapi bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak teliti punca banjir, fokus bantuan dan pencegahan jangka panjang


