Khidmat baik pulih barangan antik jadi keunikan Vintage Ipoh Gallery

BERMULA dengan minat mengumpul piring hitam lama pada tahun 2017, hobi yang pada awalnya sekadar mengisi masa lapang akhirnya berkembang menjadi sebuah pusat koleksi dan menyediakan khidmat baik pulih barangan antik dikenali sebagai Vintage Ipoh Gallery.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah antara yang pernah mencemar duli mengunjungi kedai antik tersebut pada April lalu.

Khidmat baik pulih barangan antik jadi keunikan Vintage Ipoh Gallery
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah mencemar duli mengunjungi Vintage Ipoh Gallery pada April lalu. Foto Facebook Vintage Ipoh Gallery

Selain itu, artis tempatan dan luar negara juga pernah meluangkan masa singgah di situ antaranya penyanyi, pelakon, pelawak dan pengacara, Joey Daud; pelawak, Ropie Cecupak serta penyanyi kumpulan Fourtwnty, Ari Lesmana dari Indonesia.

Pemiliknya, Khairul Mohamad Jauhari, 46, berkata, beliau kemudiannya terus mengumpul pelbagai koleksi daripada penjual di sekitar Ipoh dan Kuala Lumpur sehingga ke luar negara sebelum skop koleksi itu berkembang kepada perabot serta pelbagai barangan antik lain.

Menurutnya, kedai yang mula beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021 bukan sahaja menjadi lokasi jualan barangan antik, malah turut menyediakan perkhidmatan baik pulih bagi memastikan khazanah lama terus terpelihara.

Khidmat baik pulih barangan antik jadi keunikan Vintage Ipoh Gallery
Sebahagian barangan antik yang terdapat di Vintage Ipoh Gallery. Foto Syakir Yusof

“Pada mulanya, saya buka kedai ini sekadar untuk memenuhi masa lapang dengan kawan-kawan dan berniaga sikit-sikit.

“Tapi akhirnya, daripada ke satu tingkat naik ke tingkat atas (dua tingkat), lepas itu kita ada bengkel untuk buat restoration (baik pulih barang antik). Itulah bermulanya perjalanan kedai ini.

“Koleksi barang antik kita dapat merata-rata, tapi kebanyakannya daripada Malaysia termasuk ada juga yang dibeli daripada Sabah dan Sarawak seperti barangan pengiklanan (advertising) light box (kotak lampu) manakala barangan dari luar negara kebanyakkannya dari United Kingdom seperti jam dan radiogram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di kedainya yang terletak di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park, Ipoh hari ini.

Sedia perkhidmatan baik pulih barang antik

Dalam pada itu, Khairul berkata, selain membeli pelbagai barangan antik dengan harga yang amat berpatutan, pelanggan juga boleh mendapatkan perkhidmatan baik pulih tanpa perlu mencari pihak lain.

Khidmat baik pulih barangan antik jadi keunikan Vintage Ipoh Gallery
Pemilik Vintage Ipoh Gallery, Khairul Mohamad Jauhari, 46, ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak hari ini. Foto Syakir Yusof

“Kita di sini menyediakan khidmat baik pulih, sebab konsep di sini, apa yang pelanggan tengok dan nak beli, mereka boleh beli.

“Contohnya meja yang kita duduk sini, mungkin pelanggan makan dengan sesiapa dan rasa nak jadikan kenangan, jadi mereka boleh beli terus meja ini.

“Jadi, kita sediakan perkhidamatan ini supaya pelanggan kita tak perlu cari tempat lain untuk baiki. Ini kerana bukan semua orang tahu memulihkan barang lama. Orang tengok barang ini cantik, tapi bila nak buat jadi kekangan, akhirnya simpan dalam stor sahaja.

“Di sini, kita tolong buatkan. Sama ada pelanggan walk in (datang terus) beli benda yang dah siap, ataupun dia pergi ke bengkel kita yang terletak lebih kurang dua minit jarak berjalan kaki.

“Kita ada orang berpengalaman yang memulihkan barang-barang lama terutama barang kayu. Pelanggan boleh pilih kayu ataupun dia nak bawa perabot lama sendiri. Tak semestinya perlu beli di sini. Mereka yang bawa sendiri hanya bayar kos baik pulih sahaja,” jelasnya.

Khidmat baik pulih barangan antik jadi keunikan Vintage Ipoh Gallery
Vintage Ipoh Gallery menyediakan khidmat baik pulih barangan antik seperti perabot kayu dan barangan elektrik. Foto Syakir Yusof

Proses baik pulih siap seawal lima hari

Katanya, tempoh menyiapkan proses pemulihan bergantung kepada tahap kerosakan sesuatu barangan, namun kebiasaannya almari atau meja bersaiz besar dapat disiapkan dalam tempoh maksimum lima hari.

“Tengok pada ‘kecederaan’ dia (barangan). Tapi biasanya, maksimum pun dalam lima hari kita boleh siap dah untuk almari atau meja yang besar-besar. Tak perlu tunggu lama, kecuali kalau hantar set sofa, sebab kusyen kita kena hantar outsource (tempat lain).

“Kita cuma buat bahagian kerangkanya sahaja. Kusyen terpaksa hantar kilang, itu mungkin tunggu dalam dua tiga minggu. Di situ lama sedikit,” ujarnya.

Khairul berkata, bagi barangan elektrik seperti pemain piring hitam, kerja baik pulih turut dilakukan oleh pakar luar di Ipoh atau Kuala Lumpur dan memerlukan tempoh antara dua hingga tiga minggu.

“Macam pemain piring hitam ini, ambil masa lebih kurang dua tiga minggu sebab kita hantar pada pakar di Ipoh atau Kuala Lumpur,” katanya.

Khidmat baik pulih barangan antik jadi keunikan Vintage Ipoh Gallery
Sebahagian barangan antik yang terdapat di Vintage Ipoh Gallery. Foto Syakir Yusof

Mengulas mengenai kos pemulihan, beliau berkata harga ditentukan berdasarkan tahap kerosakan serta kesukaran prosesnya yang perlu dilakukan bagi mengekalkan keadaan asal sesuatu perabot.

“Itu kita tengok berdasarkan ‘kecederaan‘ tadi. Kalau perabot itu dah dicat warna putih, itu memang agak tinggi sikit kosnya sebab nak tanggalkan cat itu susah. Kalau kita lihat tadi bagaimana cara tukang baik pulih korek pakai pisau, di situ boleh nampak kepayahan untuk kekalkan grain (urat) kayu itu.

“Prosesnya ada yang manual, ada yang pakai mesin. Ada setengah bahagian tak boleh pakai mesin, kena pakai manual, guna asid dan pisau kecil. Malah kalau ketam kayu pun, masih pakai ketam kayu lama, bukan mesin,” jelasnya.

Barang antik dari tahun 1800

Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, antara barangan antik yang tertua di kedai tersebut adalah serombong berbentuk gramofon dipercayai wujud sejak 1800 dan terbaharu iPod yang sudah dihentikan pengeluaran.

“Kedai ini ada pelbagai pilihan barangan antik. Ada untuk orang muda, tua dan pelbagai bangsa. Semalam pun ada dua pasangan dari Australia datang beli piring hitam. Mereka bukan beli rekod lagu mereka, tapi beli rekod lagu Melayu.

Khidmat baik pulih barangan antik jadi keunikan Vintage Ipoh Gallery
Antara jam antik yang terdapat di Vintage Ipoh Gallery. Foto Syakir Yusof

“Barangan paling mahal kita pernah jual di sini ialah jukebox (peti muzik) dengan harga belasan ribu ringgit dan yang paling murah adalah sticker (pelekat) lama serendah RM5.

“Dari segi harga jualan, kalau saya dapat murah, saya jual murah. Kadang-kadang saya beli secara pukal, jadi tak semestinya ikut harga pasaran. Saya jual harga biasa sahaja sebab ada juga seller (penjual) lain yang datang beli. Kalau saya letak harga tinggi, mereka pun tak boleh nak berniaga,” ujarnya.

Tengok barang antik sambil minum kopi

Beliau berkata, konsep santai yang diterapkan di kedai itu bukan sahaja memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung, malah menjadikan premis itu sebagai lokasi yang mesra kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, susun atur galeri yang kemas dan tidak terlalu padat bertujuan memberi keselesaan kepada pelanggan ketika menikmati koleksi barangan antik yang dipamerkan.

Khidmat baik pulih barangan antik jadi keunikan Vintage Ipoh Gallery
Kipas antik akan dibaik pulih di bengkel yang terletak berhampiran Vintage Ipoh Gallery. Foto Syakir Yusof

“Kita ada mesin kopi untuk pelanggan. Sebab saya buat tempat ini bagi nampak tersusun. Kebanyakan kedai antik kita masuk nampak sendat.

“Saya wujudkan mesin kopi ni bukan untuk komersial sangat, tapi untuk pelanggan di sini sahaja. Kopi dengan antik ini dia blend (serasi). Ada juga budak muda dan pelajar datang sini sebab ada internet, boleh dengar lagu, minum kopi sambil buat kerja,” katanya.

Anak jati Ipoh ini turut menasihatkan individu yang berminat menceburi dunia pengumpulan barangan antik supaya tidak terburu-buru membuat pembelian dan sentiasa mendapatkan pandangan daripada mereka yang lebih berpengalaman. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

11 kali berpindah, Naz Pastry teguh hampir tiga dekad

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI