PARIT BUNTAR – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil menyifatkan tindakan PAS menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah dapat dijangka ekoran ketamakan parti berkenaan.
Justeru itu, beliau menasihati mana-mana parti politik yang berhasrat bekerjasama dengan PAS perlu berhati-hati supaya tidak diperlakukan seperti Bersatu.
“Perpecahan (PAS dan Bersatu) yang berlaku itu memang sudah dijangka kerana itulah sikap PAS dan tidak boleh berkawan dengan orang.
“Dia bila berkawan tidak ada tolak ansur dan tamak. PAS juga akan kenyit mata dengan kawan lain pula kalau dia tengok kawan lain lebih menguntungkan dia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah perpecahan PAS dan Bersatu menguntungkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Terdahulu Muhammad Faiz hadir ke ke Program Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Perak Zon Utara di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di sini, pada Rabu.
Muhammad Faiz berkata, tindakan PAS tersebut diibaratkan seperti manusia menjauhi kambing kerana baunya namun bagi parti berkenaan ia adalah sebaliknya.
“Siapa hendak kawan dengan PAS hati-hati. Dia telah buktikan cara politik dia dan seingat saya sudah tujuh kali PAS bekerjasama dan semuanya tidak kekal.
“Dia saya ibaratkan macam kambinglah. Kadang-kadang kita tidak tahan dengan bau kambing tapi PAS ini kambing pun tidak tahan dengan bau dia,” katanya.
Malaysia Gazette sebelum ini melaporkan Pas mengumumkan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas membuat penilaian menyeluruh terhadap kedudukan dan hala tuju hubungan kedua-dua parti berkenaan.
Keputusan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung malam ini dan dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang. -MG Perak


