Balai Cerap Negeri Perak bakal dibina dengan kos RM38.65 juta

IPOH – Balai Cerap Negeri Perak bakal dibina di Pantai Pasir Panjang, Segari, Manjung dengan anggaran kos awal sebanyak RM38.65 juta bagi memperkukuh kemudahan cerapan falak serta mengembangkan aktiviti astronomi di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek itu adalah usaha kerajaan negeri untuk menyediakan sebuah pusat cerapan falak rasmi yang lebih komprehensif, selain menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan pembangunan ilmu astronomi.

Menurutnya, cadangan pembinaan balai cerap tersebut susulan Bengkel Intensif Pembinaan Balai Cerap Negeri Perak yang diadakan pada 19 hingga 20 Mei lalu melibatkan Jabatan Mufti Negeri Perak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Pejabat Kewangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri.

“Sebelum ini, aktiviti cerapan anak bulan rasmi negeri dilaksanakan di Baitul Hilal Pantai Pasir Panjang, Segari, Manjung yang telah lama menjadi lokasi cerapan falak negeri.

“Bagi memperkukuh kemudahan sedia ada dan mengembangkan aktiviti falak serta astronomi, kerajaan negeri sedang merancang pembangunan Balai Cerap Negeri Perak.

Balai Cerap Negeri Perak bakal dibina dengan kos RM38.65 juta
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mencuba peralatan yang digunakan bagi melakukan cerapan pada Majlis Pelancaran Bulan Falak Negeri Perak di Hotel Impiana, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 10 JUN 2026.

“Ini (Jangkaan pembinaan) bergantung kepada JKR sebab kita bagi mereka bertanggungjawab untuk semua urusan itu. Tentu sekali dia (JKR) akan ada konsultan dan reka bentuk (untuk balai cerapan).

“Anggaran awal kos pembangunan adalah sekitar RM38.65 juta dan masih tertakluk kepada penelitian teknikal serta kelulusan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Falak Negeri Perak di Hotel Impiana, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Timbalan Mufti Perak dan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, balai cerap itu akan dibina di tapak berkeluasan kira-kira 2.47 hektar.

“Balai cerap yang sedia ada di kawasan berhampiran akan terus dipakai. Ini kita naik taraf cuma saya sebutkan tadi ia adalah untuk kita mengembangkan ilmu falak serta astronomi, bukan setakat untuk tengok anak bulan sahaja, memperkasakan kemudahan sedia.

“Projek ini juga berpotensi menjadi produk pelancongan pendidikan dan astronomi baharu di Perak,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Cerapan Anak Bulan Syawal 1447H

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI