IPOH – Dua lelaki yang melarikan peti wang dan telefon bimbit milik seorang peniaga wanita yang menjual ‘nasi bajet’ di gerainya di tepi Jalan Lebuh Meru Raya, di sini 21 Mei lalu berjaya ditahan polis di Teluk Intan pada 8 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 36 tahun itu berjaya ditahan di Teluk Intan pada 8 Jun lalu.
“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes kecurian tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bersama beberapa kes jenayah lain yang dilakukan suspek di sekitar daerah ini.
“Kedua-dua suspek telah direman sehingga 12 Jun (esok) bagi membantu siasatan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Najib turut menzahirkan penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada orang ramai yang meyalurkan maklumat dan memberi kerjasama sehingga suspek berjaya ditahan.
Beliau juga menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada serta memastikan barang berharga disimpan di tempat yang selamat bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah.
Media sebelum ini melaporkan Seorang peniaga kerugian kira-kira RM2,000 selepas peti wang dan telefon bimbit miliknya dilarikan dua lelaki dalam kejadian di gerai nasi bajet di Lebuh Meru Raya, di sini, pada 21 Mei lalu.
Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu tular di media sosial selepas ‘live’ atau rakaman video secara langsung menerusi TikTok itu dimuat naik di media sosial. -MG Perak


