IPOH – Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai membunuh teman lelaki bekas kekasihnya serta merogol wanita terbabit dalam kejadian di Kilometer 12 Jalan Trans Perak dekat Kampung Gajah pada Rabu lalu kurang 24 jam selepas kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek terbabit ditahan hasil operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan JSJ Perlis di Terminal Bas Perlis Sentral Kangar, Perlis jam 3.45 petang semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek telah bertemu bekas teman wanitanya berusia 25 tahun di kawasan sawah padi pada jam 9 pagi, Selasa lalu bagi membincangkan masalah hubungan mereka.
“Semasa pertemuan itu, suspek bertindak mengugut dan merogol wanita tersebut di dalam keretanya.
“Bagaimanapun, pada jam 5 pagi, Rabu semasa suspek menghantar wanita itu semula ke keretanya, mangsa berusia 29 tahun itu (teman lelaki wanita tersebut) tiba di lokasi dan bertindak mengejar, melanggar dan menghalang kereta suspek sehingga berhenti.
“Apabila mangsa keluar daripada kereta, suspek terus bertindak menyerang dan menikam perut mangsa dengan pisau sebelum melarikan kereta mangsa dan meninggalkannya di Batu Gajah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Mes Pegawai Kanan Perak di sini hari ini.
Mohd Alwi berkata, polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu selepas suspek membuangnya ke dalam tong sampah di Bandar Kangar.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh serta Seksyen 376 kanun yang sama kerana kesalahan merogol,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes curi di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri sebuah kenderaan motor.
Mengulas dakwaan bahawa mangsa diculik sebelum kejadian, beliau berkata perkara itu hanyalah spekulasi yang dimainkan oleh netizen.
Sebelum ini media melaporkan, polis sedang mengesan lelaki yang disyaki menikam seorang pemuda berusia 29 tahun sehingga maut dalam satu pergaduhan dipercayai bermotifkan cemburu pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.49 pagi hari yang sama.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman ketika bertengkar dengan seorang lelaki berusia 30 tahun yang sudah dikenal pasti oleh polis.
“Mangsa dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


