PASIR SALAK – Seorang lelaki maut ditikam dalam insiden pergaduhan di Jalan Trans Perak, Kampung Gajah, di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan perselisihan faham tercetus antara mangsa dan suspek yang juga bekas teman lelaki kepada teman wanitanya sebelum dia ditikam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 5.59 pagi berhubung kejadian bunuh yang berlaku di lokasi berkenaan.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun telah mengalami kecederaan akibat ditikam semasa berlaku pergaduhan dengan suspek berusia 30 tahun.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah klinik tempatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek telah melarikan diri selepas kejadian menggunakan kenderaan jenis Proton Wira berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WGX 3707,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Hafezul Helmi berkata, susulan itu polis sedang giat memburu suspek yang dikenali sebagai Mohammad Farizzal Fazly Mohd Zulkifly beralamat di Kampung Guntur Tengkek, Batu Kikir Negeri Sembilan bagi menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini atau keberadaan suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP S. Murugan di talian 012-6992784.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Inspektor Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di talian 019-6751267 atau maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. -MG Perak


