IPOH – Polis telah merakamkan keterangan 36 individu berhubung kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat selepas dua minggu hilang di Gunung Batu Putih.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, 28 individu melibatkan peserta pendakian, rakan-rakan dan suami wanita itu diambil keterangan berhubung kes orang hilang manakala lapan lagi, termasuk Jaslinda berhubung kes fitnah Tok Batin.
Menurutnya, seorang pengguna TikTok telah direman empat hari bermula Jumaat kerana didakwa memfitnah dan mengaibkan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh dekat Tapah berhubung penemuan wanita itu.
“Kita sudah reman suspek selama empat hari (mulai hari ini) tetapi keterangan suspek kita tak ambil lagi dan masih lagi dalam siasatan.
“Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan jika ingin menyampaikan kenyataan terutamanya di media sosial ini biasanya perkara itu adalah sahih.
“Kalau tidak sahih, jangan disiarkan kerana itu boleh mendatangkan fitnah kepada mangsa. Kita minta kepada masyarakat supaya mengelakkan perkara ini,” katanya.
Berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Mes Pegawai Kanan Perak di sini hari ini.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Sebelum ini media melaporkan, lelaki terbabit tular menerusi satu sesi siaran langsung apabila mendakwa Tok Batin Mohd Asmmadi Abdullah telah ‘menyimpan’ Jaslinda selama dua minggu dan akan berkahwin dengan pendaki wanita itu jika perkara tersebut tidak tular.
Susulan video itu, lelaki terbabit kemudiannya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka melalui satu rakaman video susulan kontroversi berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


