KAMPAR – Penganjuran kejohanan World Triathlon Development Regional Cup dan Asian Triathlon Youth Cup Kampar 2026 terus mengangkat daerah ini sebagai destinasi pelancongan sukan apabila berjaya menarik penyertaan 500 atlet dari 34 negara termasuk Malaysia.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kejohanan yang berlangsung di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) bermula dari 11 Jun hingga esok bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan sukan, malah membantu mempromosikan Kampar sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Menurutnya, penganjuran edisi ketiga kejohanan itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada peserta tempatan dan antarabangsa yang terus memperkukuh kedudukan Kampar sebagai antara lokasi tumpuan peminat triatlon.
“Program ini menjadi platform penting untuk mempromosikan daerah Kampar melalui pelancongan sukan, selain menyahut aspirasi Kerajaan Madani sempena TMM.
“Selain itu, kejohanan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat dan menyemarakkan budaya gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan acara penyampaian hadiah sempena pertandingan World Triathlon Development Regional Cup dan Asian Triathlon Youth Cup Kampar 2026 di UTAR, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kampar, Mohamad Kamil Mohamad Kasim; Presiden Persatuan Triatlon Negeri Perak, Dr Alex Khoo Peng Chuan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Ahmad Suqairy Alias.
Khairudin berkata, sebanyak sembilan kategori dipertandingkan termasuk Junior Elite lelaki dan wanita, Development Regional Cup lelaki dan wanita serta Kejohanan Kebangsaan bagi kedua-dua kategori.
Katanya, penyertaan antarabangsa melibatkan negara seperti Australia, Arab Saudi, Brazil, Brunei, Kemboja, China dan Filipina membuktikan kejohanan tersebut semakin mendapat pengiktirafan di peringkat global.
Beliau menjelaskan, pemilihan UTAR sebagai venue kejohanan adalah tepat kerana memiliki kemudahan lengkap yang memenuhi keperluan tiga disiplin utama sukan triatlon iaitu renang, berbasikal dan larian.
“Pelaksanaan secara berpusat di sini memudahkan urusan penganjuran, selain mendapat sokongan yang baik daripada agensi kerajaan dan kepimpinan masyarakat setempat.
“Kampar sudah sinonim dengan kejohanan ini dan menjadi antara lokasi yang dinanti-nantikan oleh peminat triatlon setiap tahun. Sebab itu kita melihat ia wajar diteruskan di sini kerana mampu menjadi salah satu pemangkin pembangunan daerah,” ujarnya.
Sehubungan itu, Khairudin berharap, penganjuran berterusan acara berprestij itu akan terus memperkukuh sektor pelancongan, merancakkan ekonomi tempatan dan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti rekreasi serta gaya hidup sihat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Gerik Megatrails disasar jadi acara antarabangsa pelancongan sukan lasak


