IPOH – Seorang pengawal keselamatan berjaya kembali ke alam pekerjaan selepas menjalani proses pemulihan sebagai Orang Berinsuran (OB) pertama yang menerima rawatan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sultan Nazrin Shah di Meru Raya, di sini.
Omar Abdul Hamid, 55, yang telah berkhidmat selama 16 tahun sebagai pengawal keselamatan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampar berkata, dia dimasukkan ke pusat rehabilitasi itu selepas motosikal yang ditunggangi terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah pacuan empat roda pada Mei tahun lalu.
Katanya, kemalangan itu telah mengakibatkan dia mengalami kecederaan serius pada beberapa bahagian anggota badan sebelah kanan, termasuk beberapa keretakan tulang pada sendi siku sehingga memerlukan rawatan dan proses pemulihan rapi.

“Akibat kemalangan itu, beberapa bahagian anggota badan cedera, saya termasuk siku saya patah, dan saya terpaksa menjalani pembedahan untuk memasukkan plat serta skru.
“Pada awalnya tangan saya langsung tidak boleh bergerak. Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan rehabilitasi, tangan saya sudah boleh digerakkan semula seperti biasa,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, pada Selasa.

Pada majlis, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan sijil pengiktirafan istimewa daripada PERKESO kepada Omar sebagai OB pertama yang menjalani program rehabilitasi di pusat berkenaan pada 22 Julai tahun lalu.
Bapa kepada empat anak itu berkata, impak daripada kemalangan jalan raya itu dia mengalami kesakitan pada bahagian siku, pergerakan bahu kanan yang terhad, serta genggaman tangan yang lemah.
Katanya, susulan itu dia ditempatkan ke pusat rehabilitasi tersebut bermula dari 22 Julai sehingga 29 Ogos tahun lalu selepas selesai menjalani pembedahan susulan akibat kecederaan yang dialami.

Menurut Omar, dia pada awalnya dimaklumkan akan dirujuk ke Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Melaka sebelum rujukan kesnya ditukar ke Ipoh yang ketika itu pusat rehabilitasi berkenaan baru memulakan operasi.
“Pada hari pertama saya di sini saya difahamkan terdapat 13 orang OB, termasuk saya, yang menjalani rawatan rehabilitasi. Saya menjalani rutin harian untuk sesi fisioterapi kira-kira selama enam minggu.
“Sebelum mendapat rawatan, keupayaan tangan saya hanya sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja. Namun, selepas tamat sesi berkenaan, tahap kekuatan tangan saya meningkat sehingga 90 peratus.
“Genggaman tangan saya semakin baik, sakit pada bahagian siku kanan semakin kurang serta keupayaan saya untuk menjalani aktiviti kehidupanb harian semakin pulih,” katanya lagi.

Pada masa sama, dia turut menyifatkan fasiliti serta kemudahan yang disediakan di Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah sebagai pusat rawatan pemulihan moden yang lengkap dan terbaik khususnya kepada OB yang sedang memerlukan pros
“Bagi saya, fasiliti di sini memang terbaik. Saya tidak sangka terdapat pelbagai peralatan berteknologi tinggi termasuk peralatan robotik yang dapat membantu pesakit seperti saya untuk menjalani proses pemulihan.
“Oleh itu, sesiapa yang membuat caruman PERKESO memang beruntung kerana dapat menikmati kemudahan dan rawatan seperti ini apabila diperlukan,” ujarnya.

Difahamkan, sebelum menjalani proses rehabilitasi, Omar hanya mampu melaksanakan tugas sebagai pengawal keselamatan dengan hanya memantau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bilik kawalan berikutan keterbatasan fizikal akibat kecederaan yang dialami.
Namun, selepas menamatkan program pemulihan, dia kini dapat kembali menjalankan tugas hakikinya sebagai pengawal keselamatan seperti biasa yang mana ia meliputi penugasan pemantauan dan kawalan akses keselamatan, pengurusan insiden serta memastikan persekitaran universiti berada dalam keadaan selamat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah terbesar di Asia Tenggara


