Keputusan melulu pemimpin undang padah kepada rakyat – Sultan Nazrin

PUTRAJAYA – Amat malang bagi sesebuah negara dan bangsa sekiranya mempunyai pemimpin yang bertindak secara impulsif, melatah serta melulu mengikut dorongan hati dan emosi sehingga membuat keputusan secara terburu-buru tanpa berfikir panjang.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah bertitah, tindakan yang mengutamakan kepentingan jangka pendek itu akhirnya mengundang kerosakan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat yang tidak berdosa.

Menurut Sultan Nazrin, peristiwa hijrah membuktikan sesuatu kejayaan tidak dicapai secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan perancangan yang teliti dan tersusun.

“Rasulullah SAW merancang perjalanan dengan sangat teliti, termasuk memeta laluan yang selamat, melakukan persediaan yang baik, mendapatkan maklumat risikan serta bertindak secara strategik.

“Malah Baginda mendapatkan khidmat Abdullah bin Uraiqit sebagai pemandu jalan dan memilih laluan yang kurang digunakan bagi mengelakkan daripada dikesan oleh kaum Quraisy,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika mengupas pengajaran kedua daripada peristiwa Hijrah iaitu kepentingan perancangan strategik dan kepimpinan berwawasan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun ini bertemakan Bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” dihadiri kira-kira 5,000 hadirin.

Sultan Nazrin bertitah, umat yang hebat bukanlah umat yang sekadar berasa bangga setelah membaca kisah sejarah kejayaan, sebaliknya mereka yang mengambil pengajaran serta rujukan untuk membina masa hadapan yang lebih cemerlang lagi gemilang.

Mengenai nilai perjuangan, baginda bertitah ia menjadi tidak bermakna tanpa pengorbanan yang menuntut kesanggupan meletakkan kepentingan yang lebih besar mengatasi kepentingan diri sendiri.

“Pengorbanan menuntut keberanian, ketabahan dan keikhlasan. Pengorbanan memerlukan kesediaan meninggalkan keselesaan, menanggung kesukaran dan menghadapi kesulitan demi mencapai matlamat yang lebih mulia,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan kebimbangan terhadap semangat pengorbanan yang kini kelihatan semakin kabur dalam kalangan ummah dan penghayatannya yang semakin pupus, malah hanya bersifat retorik.

“Ummah wajib difahamkan akan nilai pengorbanan, disemai dengan semangat bersedia berkorban dan menjadikan pengorbanan sebagai budaya hidup, demi kelangsungan negara untuk menghadapi gelora dan gelombang dunia yang semakin mencabar,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menyenaraikan tiga lagi pengajaran utama daripada peristiwa Hijrah yang wajar dihayati umat Islam, iaitu kesanggupan melakukan pengorbanan, perpaduan dan kerjasama membina kekuatan serta tawakal kepada pertolongan Allah SWT.

Dalam pada itu, baginda turut menghuraikan lima faktor yang berjaya menyatupadukan masyarakat Madinah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW dan boleh dijadikan contoh dalam membina masyarakat yang harmoni.

Lima faktor tersebut ialah persaudaraan Muhajirin dan Ansar, Piagam Madinah, sikap toleransi serta hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai agama, budaya dan keturunan, kerjasama demi kepentingan bersama serta kepimpinan yang adil dan berhikmah.

“Semua penduduk bekerjasama mempertahankan Madinah daripada ancaman luar serta sedia berganding bahu membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, kepimpinan yang adil lagi berhikmah berjaya menyatukan masyarakat yang berpecah-belah,” titah baginda. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI