Cemas dengar tempikan kawanan gajah liar belakang rumah

GERIK – Bunyi tempikan kawanan gajah diselang dengan pokok tumbang menjadi petunjuk kehadiran haiwan liar berkenaan di belakang kediaman salah seorang penduduk di Kampung Jalan Tok Bali, Bongor di sini, Rabu lalu.

Suri rumah, Siti Rasidah Abd Lateh berkata, itu merupakan kali pertama dia mendengar tempikan gajah yang begitu kuat sambil menumbangkan pokok pisang serta getah bergampiran rumahnya itu.

“Mulanya saya mendengar bunyi gajah namun terasa seperti ia bunyi yang jauh memandangkan belakang rumah adalah gunung namun bila hampir jam 12.30 pagi bunyi berkenaan makin dekat.

“Kami lihat dia menumbangkan pokok pisang dan getah jadi suami terus baling mercun namun dia tidak lari jadi kami segera menelefon PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) dan mereka hadir,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Jalan Tok Bali, Bongor di sini, semasa operasi pemindahan gajah pada Rabu.

Bercerita lanjut, Siti Rasidah berkata, keadaan menjadi serius keesokannya apabila dia meninjau halaman belakang melalui dapur kediamannya dan melihat beberapa ekor gajah sedang merayau.

Temubual suri rumah, Siti Rasidah Abd Lateh di Kampung Bongor, Gerik. Foto ABDULLAH YUSOF 17 JUN 2026.

Katanya dia kemudiannya mengeluarkan telefon bagi merakam video namun tanpa disangka gajah-gajah tersebut menuju ke arahnya hingga dia menjerit.

“Dalam keadaan takut-takut, saya sebenarnya teruja untuk merakam video dan gambar. Cuma ketika gajah itu mula bergerak (ke arah rumah), saya cemas dan menjerit sehingga anak-anak terbangun.

“Kebetulan, ada beberapa anggota Perhilitan berhampiran rumah, jadi mereka segera datang dan bantu menembak haiwan itu menggunakan ubat pelali,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed berkata, sebanyak 12 ekor gajah liar berjaya ditangkap pasukan PERHILITAN di kampung berkenaan dan kesemuanya akan dipindahkan ke lokasi baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed melihat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menjalankan operasi translokasi 12 ekor gajah liar yang berjaya ditangkap dibantu dua ekor gajah denak Indah dan Suria di Kampung Bongor, Gerik. Foto ABDULLAH YUSOF 17 JUN 2026.

Menurut beliau, konflik antara gajah dan manusia sering berlaku di daerah Hulu Perak dan khidmat PERHILITAN diperlukan bagi memindahkan mamalia liar berkenaan.

“Jadi beginilah situasinya bila PERHILITAN menerima laporan daripada orang kampung, mereka akan datang membuat kawalan dan cuba untuk memastikan ancaman gajah kepada orang kampung tidak berlaku.

“Sekiranya ada perkara-perkara yang mungkin menyebabkan berlakunya gangguan gajah ini akan ditangkap PERHILITAN untuk dipindahkan di mana prosesnya berlangsung beberapa hari mengikut jumlah gajah,” katanya.

Katanya lagi, jumlah tangkapan gajah terbanyak di Daerah Hulu Perak adalah pada tahun lalu di Bandariang sebanyak 19 ekor. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI