KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) mencatat sejarah apabila mencapai kedudukan tertinggi pernah direkodkan dalam QS World University Rankings 2027, dengan melonjak dua anak tangga daripada kedudukan ke-58 kepada tempat ke-56 dunia.
Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukan UM sebagai universiti nombor satu di Malaysia dan meletakkannya dalam kelompok 3.7 peratus universiti terbaik dunia.
Selain mengekalkan status sebagai universiti terbaik negara secara keseluruhan, UM turut menduduki tempat pertama di Malaysia dalam beberapa indikator utama iaitu Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Hasil Kebolehpasaran Graduan (Employment Outcomes) dan Kemampanan (Sustainability).
Di peringkat global, UM berada di kedudukan ke-56 bagi Reputasi Akademik dan ke-61 bagi Reputasi Majikan. Universiti itu turut merekodkan prestasi memberangsangkan dalam Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (ke-125), Pelajar Antarabangsa (ke-153), Kemampanan (ke-166) dan Hasil Kebolehpasaran Graduan (ke-184).
Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, pencapaian terbaik dalam sejarah universiti itu merupakan detik penting yang mencerminkan hasil usaha berterusan seluruh warga kampus.
Menurut beliau, kejayaan tersebut lahir daripada komitmen tinggi dalam melaksanakan strategi yang jelas, mengutamakan kecemerlangan akademik serta budaya kerja yang berteraskan nilai dan disiplin.
“Pencapaian ini adalah milik seluruh komuniti UM. Ia terhasil daripada kualiti penyelidikan, cita-cita pelajar, dedikasi ahli akademik, profesionalisme kakitangan serta usaha berterusan setiap fakulti dan jabatan dalam mengharumkan nama universiti.
“Kemajuan yang dicapai bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pelaksanaan pelan tindakan strategik yang jelas serta tumpuan kepada bidang penting seperti penyelidikan termaju, transformasi digital, kemampanan, pembangunan bakat, inovasi dan kerjasama global,” katanya.
Beliau berkata, UM akan terus memainkan peranan sebagai institusi peneraju negara dalam melahirkan bakat, ilmu pengetahuan dan penyelesaian yang mampu menyumbang kepada pembangunan Malaysia serta masyarakat global.
Bagi edisi QS World University Rankings 2027, UM memperoleh skor keseluruhan 81.2, didorong prestasi kukuh dalam lima dimensi utama penilaian iaitu Penyelidikan dan Penemuan, Kebolehpasaran Graduan dan Hasil, Kemampanan, Pengalaman Pembelajaran serta Penglibatan Global.
UM turut mencatat skor 92.8 bagi Reputasi Akademik dan 93.1 bagi Reputasi Majikan, mencerminkan pengiktirafan tinggi daripada ahli akademik serta majikan di seluruh dunia terhadap kualiti pendidikan dan graduannya.
Dalam aspek pengantarabangsaan, universiti itu memperoleh skor 93.4 bagi Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa, selain 93.1 untuk Pelajar Antarabangsa dan 83.7 bagi Fakulti Antarabangsa, sekali gus menunjukkan peningkatan daya tarikan UM di peringkat global.
Sebanyak 8,808 institusi dinilai dalam QS World University Rankings 2027, namun hanya 1,504 universiti daripada 106 lokasi disenaraikan dalam kedudukan akhir. Di Malaysia, sebanyak 32 institusi pengajian tinggi dinilai bagi edisi kali ini.
Tahun 2026 turut menandakan ulang tahun ke-121 penubuhan Universiti Malaya yang terus memperkukuh legasinya sebagai institusi pendidikan tinggi terulung negara dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan khidmat kepada masyarakat. – MalaysiaGazette


