LENGGONG – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dalam kejadian di Bandar Baru Lenggong, di sini, pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jam 7.22 pagi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong tiba di lokasi dua minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis terlibat kemalangan dengan seorang mangsa lelaki berusia 53 tahun yang tersepit di tempat duduk pemandu.
“Ketua operasi telah melaksanakan penilaian awal keadaan sebelum mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja penyelamatan menggunakan pemotong khas serta pengusung bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat jam 8.40 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


