LARUT – Suasana Pasar Pagi Sungai Bayor, di Selama bertukar gamat apabila peniaga-peniaga mula berteriak memanggil nama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk singgah digerai mereka.
Tidak kurang juga, pengunjung yang terdiri daripada penduduk Selama serta Kedah yang bersebelahan dengan daerah ini mengambil kesempatan berswafoto dengan pemimpin nombor satu Perak itu.
Saarani yang memakai kurta berwarna putih menyapa setiap peniaga selain merasa makanan yang ditawarkan kepada beliau sambil beramah mesra.
Usai berjalan kaki dan menyapa pengunjung serta peniaga Saarani kemudiannya menyempurnakan Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Komuniti Sejahtera: Karnival Selamanya Di Hati 3.0 dan Temasya Pasar Pagi Sungai Bayor di sini, hari ini.
Saarani dalam ucapan beliau berkata, Pasar Pagi Sungai Bayor bermula sejak era 1960-an sebagai Pekan Jumaat Sungai Bayor di mana orang ramai datang untuk mendapatkan barang harian dan menjual hasil kebun.
Katanya, dari minggu ke minggu, peniaga bertambah, pengunjung semakin ramai, dan pasar ini akhirnya membentuk jajaran panjang seperti yang kita lihat pada hari ini.
“Perkembangan itu turut dibantu oleh kedudukan Selama. Daerah kecil ini terletak di utara Perak, berhampiran Kedah dan berada dalam lingkungan pergerakan masyarakat yang turut menghubungkan kawasan sekitar Pulau Pinang. Sebab itu, Sungai Bayor mudah dikunjungi penduduk kampung, pekebun kecil, peniaga dan pembeli dari kawasan berhampiran.
“Bagi orang Selama, Pasar Pagi Sungai Bayor membawa makna yang lebih besar daripada sekadar tempat berjual beli. Di sinilah hasil kampung bertemu pembeli, di sinilah kuih tradisi dan makanan tempatan terus diwarisi, dan di sinilah hubungan masyarakat terus hidup dari satu generasi ke satu generasi,” katanya.
Pada kunjungan itu, Saarani turut mengumumkan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjumlah RM700,000 bagi melaksanakan dua projek infrastruktur di daerah Selama.
Beliau berkata, ia termasuklah RM500,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan bahu jalan serta sistem perparitan di kawasan Pasar Pagi Sungai Bayor. -MG Perak


