KUALA LUMPUR – Semua pelarian yang berada di Malaysia wajib mematuhi undang-undang negara dan tidak mempunyai sebarang kekebalan, kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia, Louise Aubin.
Beliau menegaskan, mereka perlu meghormati negara tuan rumah yang didiami sekiranya mereka juga mahu turut dihormati.
“Wujud satu bentuk saling menghormati antara negara tuan rumah dan pelarian. Pelarian menghormati undang-undang negara, manakala negara menghormati keperluan mereka untuk mendapatkan perlindungan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Persidangan Kuala Lumpur: Solidariti Bersama Pelarian di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Aubin menegaskan, dakwaan kad pelarian dikeluarkan dengan mudah khususnya kepada pencari suaka Rohingya di Malaysia adalah tidak tepat kerana setiap permohonan perlu melalui proses saringan dan temu bual yang ketat sebelum seseorang diiktiraf sebagai pelarian.
Beliau menjelaskan, tidak semua individu yang datang ke Malaysia layak menerima status pelarian kerana pengiktirafan hanya diberikan kepada mereka yang terbukti melarikan diri daripada konflik, penganiayaan atau berdepan risiko pencabulan hak asasi manusia sekiranya dihantar pulang ke negara asal.
Proses penentuan status pelarian melibatkan temu bual yang menyeluruh serta semakan silang maklumat dengan rangkaian pejabat UNHCR di seluruh dunia bagi memastikan setiap dakwaan yang dikemukakan adalah sah dan boleh disahkan.
“Malangnya, tidak semua orang yang datang ke Malaysia layak diiktiraf sebagai pelarian. Seseorang yang melarikan diri daripada penganiayaan atau konflik dan memerlukan perlindungan kerana berisiko menghadapi ancaman terhadap nyawa atau hak asasi manusia sekiranya dihantar pulang, individu seperti itulah yang layak dianggap sebagai pelarian,” ujarnya.
Beliau mengulas persepsi sebahagian masyarakat yang mendakwa UNHCR terlalu mudah mengeluarkan kad pelarian kepada warga Rohingya dan pencari suaka lain di negara ini.
Aubin menjelaskan, UNHCR beroperasi berdasarkan mandat global yang diberikan oleh semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk membantu negara-negara menguruskan isu pelarian walaupun tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.
Katanya, UNHCR telah berada di Malaysia sejak krisis pelarian Indochina pada tahun 1970-an dan kini menyokong usaha kerajaan melaksanakan sistem pengenalpastian, pendaftaran serta dokumentasi pelarian yang lebih tersusun.
Dalam pada itu, beliau turut menolak tanggapan pelarian menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial dan ekonomi negara.
Katanya lagi, jumlah pelarian berdaftar di Malaysia ketika ini hanya sekitar 220,000 orang, satu angka yang kecil berbanding jumlah keseluruhan penduduk negara.
“Sebahagian pihak menjadikan pelarian sebagai kambing hitam bagi masalah yang sebenarnya jauh lebih besar daripada isu pelarian itu sendiri. Kos sara hidup bukan berpunca daripada pelarian dan pelarian juga bukan penyebab kadar jenayah di Malaysia,” tambahnya.
Beliau berkata, pelarian tidak meninggalkan negara asal secara sukarela, sebaliknya terpaksa berbuat demikian akibat konflik, penganiayaan dan ancaman keselamatan yang dihadapi. – MGPerak


