213 konsert antarabangsa dianjurkan setahun sejak 2022

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,069 konsert antarabangsa telah diluluskan dengan purata 213 konsert setahun berdasarkan rekod bagi tempoh 2022 hingga 18 Jun lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia mencerminkan perkembangan positif industri hiburan dan keyakinan penganjur antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara.

Menurut beliau, Kementerian Komunikasi melalui Unit Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) komited dalam menyokong penganjuran konsert di Malaysia khususnya yang melibatkan persembahan artis luar negara.

Pada masa sama, katanya, kementerian melalui MyCreative Ventures (MyCV) terus memperkasa industri muzik tempatan menerusi pelbagai inisiatif termasuk kemudahan pembiayaan dan geran, penyediaan platform serta sokongan promosi dan pemasaran.

“Antara usaha utama yang dilaksanakan ialah program-program di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik yang bertujuan meningkatkan daya saing, kebolehpasaran dan pembangunan bakat penggiat industri muzik tempatan.

“Antara contoh program di bawah DKK Industri Muzik adalah Dana Persembahan Muzik yang memfokuskan penganjuran acara berbentuk persembahan atau konsert muzik yang mengetengahkan bakat-bakat tempatan dan menjana pekerjaan untuk penggiat industri muzik.

“Berdasarkan data yang direkodkan dari tahun 2022 hingga 2025, dana ini telah menyokong sebanyak 13 konsert tempatan bagi tahun 2022, 42 konsert tempatan bagi tahun 2023 dan 14 konsert tempatan bagi tahun 2025 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 69 konsert tempatan sejak dana ini diperkenalkan,” katanya katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan jumlah konsert yang telah diadakan di Malaysia setiap tahun dari 2015 hingga 30 Jun 2026 serta hasil pendapatan dan pulangan ekonomi secara keseluruhan yang dijana daripada aktiviti persembahan tersebut.

Fahmi memberitahu, Kementerian Komunikasi turut memperkenalkan Inisiatif “Concerts and Events in Malaysia Incentive” (CEMI) yang menawarkan rebat kewangan bagi menarik penganjuran konsert atau acara antarabangsa dan tempatan serta merancakkan ekonomi kreatif Malaysia.

Katanya, inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 2025 ini telah menarik pelaburan melalui Perbelanjaan Keseluruhan bagi Konsert dan Acara yang Layak (QMCES) di Malaysia
sebanyak RM32.1 juta dengan penciptaan peluang pekerjaan kepada bakat dan kemahiran tempatan sebanyak 3,186 orang.

“CEMI telah menyumbang limpahan ekonomi tidak langsung dengan anggaran sebanyak RM37.1 juta melalui industri hiliran seperti sokongan teknikal, logistik, hospitaliti, makanan dan infrastruktur.

“Secara umumnya, berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh PricewaterhouseCoopers pada tahun 2023 melalui “Economic Impact of the Malaysian Music Industry”, industri muzik mampu menjana ekonomi sebanyak RM19.4 billion setahun dengan menyumbang sebanyak RM8.6 billion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Melalui penerbitan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri muzik turut mencatat RM558.6 juta bersamaan 1.2 peratus kepada Nilai Ditambah Kasar Industri Budaya dan Kreatif,” katanya.

Di samping itu, kata Fahmi,  penubuhan Majlis Ekonomi Jingga (MEJ) yang telah dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 1 Tahun 2026 pada 12 Mac 2026 dan seterusnya diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 1 April 2026 akan memperkukuh pembangunan industri kreatif negara, termasuk sektor muzik.

“Sebagai badan tertinggi yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi untuk menerajui perancangan, pelaksanaan dan pemantauan ekonomi jingga negara, MEJ turut berperanan menyelaras, mengumpul dan menganalisis data berkaitan aktiviti persembahan muzik bagi menyokong pembangunan industri yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI