Tiada arahan halang MB Johor masuk Felda – PM Anwar

DENGKIL – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dakwaan kononnya wujud arahan bagi menghalang Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada memasuki kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan Persekutuan hanya memberikan tumpuan kepada pelaksanaan projek di bawah bidang kuasa sedia ada di tanah rancangan berkenaan.

“Arahan (halang) tak ada. Arahan (adalah) Kerajaan Persekutuan layan projek Persekutuan (manakala) negeri, dia buat kerja negerilah. Apa nak riuh-riuh, buat apa,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil di sini hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Menteri Besar Johor itu yang mendakwa beliau dihalang daripada memasuki kawasan FELDA.

Sebelum ini, Onn Hafiz mendedahkan beliau dihalang memasuki kawasan FELDA bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak akan melayan komen oleh pihak luar yang mempunyai agenda tertentu, sebaliknya akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas demi manfaat rakyat.

“Saya tidak jelas (maksud mereka), tidak layan sangat dengan komen-komen ini. Kita banyak kerja kita,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meminta Perdana Menteri dan Ketua Pengarah FELDA menjelaskan pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor serta menghalang Menteri Besar Johor memasuki kawasan tanah rancangan itu.

Beliau berkata persoalan itu timbul selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan ada mengeluarkan arahan membatalkan program berkenaan mahupun menghalang Menteri Besar Johor daripada memasuki kawasan FELDA.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI