KLUANG – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengenal pasti empat negara berpotensi membekalkan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) untuk projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) susulan pembatalan perolehan oleh Norway.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata proses pemilihan itu tidak hanya tertumpu kepada spesifikasi asas, sebaliknya mengambil kira kriteria utama bagi memastikan sistem yang dipilih benar-benar memenuhi keperluan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Beliau berkata negara yang menjadi pertimbangan ialah Turkiye dan Korea Selatan selain dua lagi di Eropah.
“Kita kena menilai sama ada misil yang hendak diganti itu boleh diintegrasikan dengan Sistem Pengurusan Tempur LCS buatan Perancis. Misil pengganti mesti boleh beroperasi dengan sistem sedia ada,” katanya kepada pemberita pada Karnival Hari Keluarga Kita Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di X Park Impiana 2 Square, Bandar Seri Impian di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai perkembangan terkini perolehan sistem persenjataan itu susulan tindakan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia baru-baru ini.
Mohamed Khaled berkata selain aspek integrasi, kerajaan turut meneliti tempoh penghantaran bagi mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan keupayaan pertahanan maritim negara.
“Kita juga mahu tahu siapa yang boleh membekalkan misil itu paling awal. Ada yang sedang membangunkan sistem tersebut, tetapi jika tempoh penghantarannya mengambil masa hingga lapan tahun, itu bukan satu kekuatan kepada kita,” katanya.
Selain itu, faktor harga turut menjadi pertimbangan utama bagi memastikan kerajaan memperoleh sistem teknologi tinggi pada kos yang munasabah.
Beliau berkata peluru berpandu yang dipilih perlu memiliki keupayaan setanding NSM, termasuk ciri sukar dikesan radar (halimunan), mampu mengelakkan sistem pertahanan musuh serta mempunyai ketepatan sasaran yang tinggi.
Kerajaan Norway sebelum ini dilaporkan membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia atas alasan melindungi kepentingan keselamatan negara itu.
Sehubungan itu, MINDEF menghantar notis tuntutan berjumlah kira-kira RM1 bilion kepada syarikat pertahanan berkenaan susulan pembatalan kontrak perolehan NSM.
Projek LCS merupakan antara aset strategik utama TLDM bagi memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara.
— BERNAMA


