KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan sebanyak 1,250 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah di seluruh Malaysia dengan kos berjumlah RM13.8 bilion dari tahun 2016 sehingga Jun lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 813 projek telah siap, 173 pada peringkat bina dan 264 pada peringkat prabina.
Menurutnya, bagi tempoh tahun 2025 hingga suku kedua tahun 2026, sebanyak 64 projek pembangunan semula sekolah daif telah berjaya disiapkan di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, 48 projek telah siap sepanjang tahun 2025 melibatkan 13 negeri. Sarawak mencatat jumlah tertinggi dengan 17 projek, diikuti Sabah dengan 10 projek.
“Bagi tahun 2026 pula, langkah proaktif ini diteruskan. Sehingga suku kedua, 16 projek tambahan telah disiapkan merentasi tujuh negeri, dengan lapan projek di Sarawak serta masing-masing dua projek di Pahang dan Perak,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah sekolah daif yang berjaya disiapkan dalam tempoh tahun 2025 hingga suku ketiga 2026 di seluruh negara.
Fadhlina berkata, KPM akan terus memastikan projek pembangunan semula bangunan sekolah daif dilaksanakan mengikut jadual dan mematuhi piawaian yang ditetapkan, memantau kemajuan projek yang masih berjalan.
Katanya, ia selain mempercepatkan penyelesaian secara menyeluruh dengan menjamin setiap projek disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, berkualiti tinggi dan benar-benar memenuhi keperluan komuniti setempat.
“KPM kekal komited dalam memastikan setiap murid berada di dalam persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
“Ia merupakan komitmen yang bukan sekadar janji, tetapi telah dan sedang ditunaikan dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette


