LENGGONG – Dua lelaki cedera selepas sebuah lori satu tan membawa muatan sayur terbakar dalam kemalangan jalan raya membabitkan dengan sebuah kereta di Kampung Sawa di sini, pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada jam 4.33 petang.
Katanya, sejurus selepas itu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong diatur gerak ke lokasi kejadian dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
“Kemalangan jalan raya tersebut telah menyebabkan lori yang membawa muatan sayur terbakar kira-kira 60 peratus.
“Terdapat tiga individu terlibat iaitu pemandu lori lelaki berusia lingkungan 40-an yang cedera, pemandu Myvi lelaki berusia 23 tahun turut cedera manakala penumpang wanita berusia 24 tahun selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, semua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pasukan bomba dan telah diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ketua operasi kemudian menjalankan penilaian di lokasi sebelum mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja pemadaman api.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” ujarnya.
Sabarodzi berkata, operasi yang membabitkan lima anggota BBP Lenggong itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.58 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


