IPOH – Sebanyak sembilan agensi termasuk beberapa individu menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak kerana membantu pasukan itu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih pada Mei lalu.
Antara penerima sijil tersebut ialah Tok Batin Kampung Orang Asli Ampang Woh, Bah Lilit Bah Batas, 52, yang menjadi sukarelawan dalam operasi SAR itu.
Turut menerima penghargaan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi Hal Ehwal Masyarakat Orang Asli Chew Ho Beng serta Pengerusi Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM) Muzafar Mohamad.
Sijil penghargaan itu disampaikan Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon pada Majlis Perhimpunan Bulanan Julai Tahun 2026 di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya, di sini, hari ini.
Sayani dalam ucapannya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen, tenaga dann masa sepanjang operasi itu berlangsung.
“Operasi SAR di kawasan hutan serta pergunungan bukanlah satu tugas yang mudah. Ia memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi, kekuatan mental, kemahiran navigasi, penggunaan teknologi, koordinasi antara agensi serta kesabaran yang luar biasa.
“Namun, apa yang lebih penting ialah semangat kebersamaan yang ditunjukkan sepanjang operasi tersebut dijalankan.
“Tiada satu agensi pun yang mampu melaksanakan sesuatu operasi secara bersendirian. Kejayaan sesuatu misi bergantung kepada kepercayaan, kerjasama dan kesediaan semua pihak untuk bergrak sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau juga berharap hubungan strategik yang telah terjalin antara JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perhutanan Malaysia, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan, sukarelawan dan masyarakat akan terus diperkukuhkan demi keselamatan rakyat.
Sementara itu, Sayani dalam sidang media memaklumkan bahawa, setakat ini JBPM Perak tiada perancangan untuk menubuhkan pasukan khas SAR melibatkan masyarakat Orang Asli kerana komuniti itu sudah terlibat dalam pasukan keselamatan sedia ada.
“Dalam pasukan STORM (Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia) dan pasukan PGA (Pasukan Gerakan Am) ada Orang Asli yang terlibat dalam pencarian itu.
“Cuma masyarakat mungkin tidak dimaklumkan bahawa dalam pasukan tersebut memang sudah ada anggota Orang Asli yang arif dengan kawasan berkenaan.
“Selepas beberapa hari operasi dijalankan, pegawai khas daripada Pejabat Menteri Besar turut menawarkan bantuan Orang Asli setempat dan kita tiada halangan untuk mereka bersama-sama membantu usaha pencarian,” jelasnya.
Tambahnya, JBPM telah menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Orang Asli di beberapa kawasan termasuk Ulu Geruntum, justeru penubuhan pasukan khas semata-mata bagi operasi SAR tidak dilihat sebagai satu keperluan besar kerana usaha tersebut telah pun dilaksanakan.
Sebelum ini media melaporkan, Jaslinda yang hilang sejak 24 Mei lalu ketika menyertai aktiviti pendakian ‘Trans Spencer Chapman’ di Gunung Batu Putih ditemukan dalam keadaan selamat oleh penduduk Orang Asli pada 6 Jun lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Empati, kata-kata semangat ‘ikhtiar‘ abang bomba pujuk individu tangani krisis emosi


