Empati, kata-kata semangat ‘ikhtiar‘ abang bomba pujuk individu tangani krisis emosi

IPOH – “Saya percaya setiap satu masalah, ada lagi 10 jalan penyelesaian.”

Itu kata-kata yang dipegang anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Wan Muzhafar Wan Chik, 34, ketika memujuk dua individu yang berhadapan dengan krisis emosi dalam kejadian berasingan di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kejayaan memujuk kedua-dua individu itu bukanlah hasil usaha secara bersendirian, sebaliknya adalah hasil kerjasama seluruh pasukan ketika berada di lokasi.

“Kes pertama melibatkan seorang lelaki yang menaiki motosikal Yamaha RXZ. Selepas terima maklumat kami tiba di lokasi dan membuat penilaian situasi, tengok keadaan fizikalnya terlebih dahulu.

“Pada masa itu, kami tanya nama dan tempat tinggal lelaki itu namun tiada sebarang jawapan. Saya pun terus bertanya lagi sama ada dia sudah berkahwin atau mempunyai anak dan dia angguk. Masa itu saya fikir, lelaki ini mungkin ada masalah peribadi.

“Saya bagi kata-kata nasihat dan semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan serta memujuknya untuk pulang ke rumah kerana masih ada keluarga yang menantinya di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Julai Tahun 2026 di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Meru Raya, di sini, hari ini.

Empati, kata-kata semangat ‘ikhtiar‘ abang bomba pujuk individu tangani krisis emosi
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Wan Muzhafar Wan Chik menerima Sijil Penghargaan Misi Intervensi Krisis daripada Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon atas sumbangannya membantu memujuk individu yang berdepan tekanan emosi dalam dua insiden berasingan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Julai Tahun 2026 di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya hari ini. Foto Syakir Yusof

Pada majlis tersebut, Wan Muzhafar menerima Sijil Penghargaan Misi Intervensi Krisis yang disampaikan Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon, atas sumbangannya membantu memujuk individu yang berdepan tekanan emosi dalam dua insiden berasingan.

Mengulas satu lagi kejadian yang membabitkan cubaan terjun dari jejambat Jalan Bercham, beliau berkata tindakan pantas orang awam berjaya mengelakkan tragedi sebelum pasukan bomba mengambil alih usaha memujuk mangsa.

“Untuk yang kes kedua pula, membabitkan mangsa yang ingin terjun jejambat lebuh raya itu, saya beri nasihat kepadanya supaya ingat kepada Allah SWT. Mungkin dari situ, terdetik hati dia untuk berubah daripada bertindak di luar kawalan.

“Jadi, saya terus memberi kata-kata semangat supaya perkara ini memang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang mempunyai akal,” ujarnya.

Wan Muzhafar mengakui beliau tidak mempunyai pengalaman khusus dalam mengendalikan situasi sedemikian, namun, naluri sebagai anggota penyelamat serta rasa empati terhadap mangsa mendorongnya untuk bertindak secara spontan.

“Kami hanya memberi semangat pada mangsa untuk meneruskan kehidupan supaya jangan mengulangi perkara yang tidak elok pada masa akan datang,“ katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bomba berjaya pujuk lelaki cuba terjun jambatan lebuh raya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI