Kebocoran 7 liter gas ammonia di kilang ais Menglembu berjaya dikawal

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berjaya mengawal kejadian kebocoran gas ammonia di sebuah kilang ais di Kawasan Perindustrian Menglembu, Pasir Puteh di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.32 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, kebocoran dipercayai berpunca daripada sebuah silinder gas ammonia berkapasiti 400 liter yang terlupa ditutup, menyebabkan kira-kira tujuh liter gas ammonia tertumpah dan pelepasan tekanan gas tidak dapat dikawal.

“Hasil pemantauan awal mendapati bacaan kepekatan gas ammonia di dalam kilang adalah 300 bahagian per juta (ppm), manakala bacaan di kawasan luar kilang direkodkan pada 100 ppm.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) telah memasuki kawasan terjejas bagi menutup injap pada silinder gas berkenaan.

Katanya, pasukan HAZMAT turut melaksanakan operasi kawalan tumpahan menggunakan bahan penyerap kimia sebelum mengutip sisa tumpahan untuk dimasukkan ke dalam tong sisa berbahaya bagi tujuan pelupusan selamat.

“Anggota HAZMAT yang lain telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta mengambil bacaan kandungan gas ammonia menggunakan pam pensampelan dan alat pengesan pelbagai gas.

“Seterusnya, kerja-kerja kawalan tumpahan dan pengudaraan telah dilaksanakan bagi mengurangkan kepekatan gas ammonia di kawasan yang terlibat.

“Hasil pemeriksaan mendapati bacaan terkini kandungan gas ammonia adalah 40 ppm, iaitu di bawah Purata Wajaran Masa (TWA) yang ditetapkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), iaitu 50 ppm,“ ujarnya.

Beliau berkata, kawasan kejadian disahkan selamat dan pihak kilang dibenarkan untuk meneruskan semula operasi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Gas ammonia bocor, empat pekerja kilang ais terselamat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI