IPOH – Seorang lelaki cedera selepas dipercayai tergelincir sebelum terjatuh di atas batu dari ketinggian kira-kira 30 meter ketika melakukan aktiviti mandi-manda bersama seorang rakan wanita di kawasan air terjun Buntong Falls, Menglembu di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu sekitar jam 11.15 pagi.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa seorang mangsa mengalami kecederaan akibat terjatuh di kawasan air terjun.
“Kedudukan mangsa adalah kira-kira satu kilometer dari lokasi jentera dan anggota bersama dua petugas KKM berjalan kaki serta mendaki laluan berbukit bagi memberikan bantuan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa berusia 38 tahun itu didapati mengalami kecederaan di bahagian kepala serta beberapa luka di badan, namun masih berada dalam keadaan sedar ketika ditemui.
“Pihak bomba menjalankan penilaian awal di lokasi sebelum membantu menstabilkan mangsa, manakala rawatan awal diberikan oleh petugas KKM.
“Mangsa kemudian dibawa keluar menggunakan pengusung melalui laluan berbukit sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi yang melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya itu berjaya dikawal pada jam 12.10 tengah hari dan tamat sepenuhnya jam 1.36 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penunggang motosikal maut, jatuh gaung 10 meter


