IPOH – Kerajaan negeri Perak komited dalam terus menyediakan kediaman pada harga munasabah tanpa mengabaikan aspek kualiti dan keselamamatan meskipun sektor perumahan kini berdepan pelbagai cabaran.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara cabaran yang dihadapi adalah kos bahan binaan, tenaga kerja, penyediaan infrastruktur dan pematuhan teknikal.
“Kerajaan negeri menyedari sektor perumahan berdepan cabaran peningkatan kos bahan binaan, tenaga kerja, penyediaan infrastruktur dan pematuhan teknikal.
“Namun usaha menyediakan kediaman pada harga yang munasabah akan terus digerakkan tanpa mengabaikan aspek kualiti dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Astana Chemor Fasa Satu serta Pelancaran Astana Chemor Fasa Kedua, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
Kata beliau, pembangunan projek perumahan seperti di Astana Chemor itu memperlihatkan pendekatan kerajaan negeri dalam memastikan pertumbuhan ekonomi bergerak seiring dengan penyediaan perumahan dan pembangunan kemudahan asas demi manfaat kepada rakyat.

“Projek milik Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang dibangunkan oleh syarikat Forte Emerald Sdn. Bhd. ini merangkumi keseluruhan 184 unit rumah, melibatkan 114 unit dalam Fasa Satu dan 70 unit rumah harga terbuka dalam Fasa Kedua.
“Pembangunan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan kediaman yang lebih tersusun, selesa dan sesuai dengan kemampuan rakyat selaras dengan keutamaan perumahan di bawah Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Tambah Saarani, kedudukan kawasan perumahan yang berhampiran dengan kawasan pembangunan perindustrian Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan juga memberikan nilai tambah kepada projek berkenaan.

Jelas beliau, ini kerana pertumbuhan kawasan industri tersebut dijangka meningkatkan keperluan terhadap perumahan di kawasan sekitar Chemor, Kanthan dan Meru.
Pada masa sama, Saarani turut menggesa agar semua pemaju hartanah di negeri ini dapat memberi tumpuan kepada pembangunan perumahan di kawasan nod-nod pertumbuhan di Perak.
Ujar beliau, pembangunan kediaman perlu bergerak seiring dengan perkembangan kawasan industri bagi memastikan keperluan tempat tinggal golongan pekerja dapat dipenuhi.
Saarani berkata, kemasukan pelaburan dan operasi hab pertumbuhan baharu dijangka meningkatkan permintaan terhadap perumahan terutama di kawasan berhampiran lokasi pekerjaan.

Justeru ujar beliau, pihak pemaju bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Perak disaran meneliti potensi pembangunan perumahan di kawasan strategik termasuk Tanjung Malim, Lumut, Perak Tengah dan Kerian.
“Apabila nod-nod pertumbuhan ini mula beroperasi, maka pengambilan pekerja akan bermula. Apabila pekerja mula masuk, sudah tentu mereka memerlukan kediaman, sama ada untuk disewa atau dibeli.
“Kalau kedudukan kediaman terlalu jauh dari tempat kerja, pasti agak menyukarkan mereka. Oleh itu, kita meminta REHDA dan semua pemaju supaya merujuk Pelan Pembangunan Negeri Perak kerana permintaan perumahan di kawasan tersebut pastinya sangat tinggi,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan akan bangunkan perumahan penjawat awam dengan kadar sewa murah – PM Anwar


